Rabu, 7 Februari 2024 | 5:05pm
Atlet angkat berat, Nur Syazwani (kiri) menerima anugerah atlet harapan PABM yang disampaikan oleh Presiden PABK, Yahaya Sani (kanan) di SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Jitra. NSTP/Izzali Ismail
Atlet angkat berat, Nur Syazwani (kiri) menerima anugerah atlet harapan PABM yang disampaikan oleh Presiden PABK, Yahaya Sani (kanan) di SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Jitra. NSTP/Izzali Ismail

Anugerah Atlet Harapan PABM milik Nur Syazwani

ALOR SETAR: Persatuan Angkat Berat Kedah (PABK) terus bersemangat apabila atlet angkat berat negara dari Kedah, Nur Syazwani Radzi dipilih menerima anugerah Atlet Harapan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

Nur Syazwani yang memenangi pingat gangsa dalam acara 64 kilogram (kg) di Sukan SEA Kemboja 2023 pada penampilan pertamanya itu menerima anugerah oleh PABM pada Mesyuarat Agung Dwi Tahunan PABM 2023 di VIP di Segamat pada 19 Januari lalu.

Atlet berusia 21 tahun melakukan angkatan snatch sebanyak 80 kilogram (kg) sebelum mencatatkan rekod clean dan jerk (104kg) dengan angkatan keseluruhan 184kg.

Menurut Presiden Persatuan Angkat Berat Kedah (PABK), Yahaya Sani, pihak PABK cukup berbesar hati apabila mewakili Nur Syazwani untuk menerima anugerah Atlet Harapan PABM berkenaan yang mana ianya mampu memberi suntikan semangat buat atlet berkenaan.

Program penyerahan anugerah berkenaan dilakukan semasa PABK melakukan kunjungan ke pusat latihan angkat berat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman di Jitra, Kedah, Isnin lalu.

"Pada lawatan kali ini, kami berkesempatan untuk berjumpa dengan atlet-atlet angkat berat Kedah dan seterusnya menyampaikan anugerah Atlet Harapan PABM kepada atlet angkat berat Kedah, Syazwani.

"PABK berharap dengan penerimaan anugerah ini ianya akan menyemarakkan lagi semangat Syazwani untuk menjalani latihan nanti," katanya

Dalam perkembangan sama, Nur Syazwani dan seorang lagi atlet muda angkat berat Kedah turut terpilih oleh Majlis Sukan Negara (MSN) ditempatkan di bawah Program Podium selama dua tahun.

"Nur Syazawani bersama atlet angkat berat lelaki Kedah iaitu Muhammad Amin Hakimi Mohd Shukry, 19, akan ditempatkan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) bagi tempoh 2024 hingga 2025.

"Mereka akan menjalani latihan secara intensif dan kita berharap mereka akan lebih cemerlang khususnya dalam mewakili mana-mana kejohanan akan datang di peringkat kebangsaan termasuk mewakili Kedah di SUKMA mahupun di pentas antarabangsa," katanya.

Berita Harian X