Ahad, 4 Februari 2024 | 5:28pm
Gambar fail Azizulhasni. Foto: FB Azizulhasni
Gambar fail Azizulhasni. Foto: FB Azizulhasni

Azizulhasni tarik diri, kesihatan jadi keutamaan

KUALA LUMPUR: Impian jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk menambah koleksi pingat di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia tidak kesampaian.

Ini selepas dia terpaksa menarik diri daripada perlumbaan penentuan pingat gangsa dalam acara pecut individu di Adelaide Super-Drome, hari ini.

"Dukacita saya mengumumkan bahawa saya terpaksa menarik diri daripada perlumbaan pingat gangsa acara pecut individu kerana mengalami gejala perikarditis selepas perlumbaan separuh akhir.

"Saya bertemu dengan doktor dan dinasihatkan menarik diri daripada perlumbaan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada memberi tekanan kepada jantung saya," kata Azizulhasni menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Pelumba berusia 36 tahun itu bagaimanapun tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhannya pada kejohanan kali ini yang menyaksikan dia berjaya merangkul pingat emas dalam acara keirin, semalam.

"Di sebalik cabaran yang saya lalui, ia adalah hari yang produktif selepas perlumbaan keirin semalam dan saya memberikan yang terbaik dalam acara pecut hari ini.

"Saya berterima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua orang, dan saya memohon maaf kerana tidak dapat menyempurnakan perlumbaan.

"Kini, tumpuan saya adalah pada pemulihan, dan saya akan menyambung semula latihan sebaik sahaja saya cergas semula. Terima kasih semua atas pemahaman dan dorongan anda," katanya.

Terdahulu, Azizulhasni yang diberi julukan 'The Pocket Rocketman' memulakan aksi dalam acara pecut dengan cemerlang apabila mencatat masa keempat terpantas 9.656 saat (s) di pusingan kelayakan dan terus ke pusingan kedua.

Pada aksi pusingan kedua, dia tidak berdepan masalah mengatasi Cristian Ortega dari Colombia sebelum menundukkan jaguh Great Britain, Jack Carlin 2-0 di suku akhir.

Bagaimanapun, dia terpaksa akur dengan kehebatan pelumba Australia, Matthew Richardson apabila tumpas 2-0 di separuh akhir sebelum dia memutuskan menarik diri daripada aksi penentuan pingat gangsa menentang seorang pelumba Australia, Matthew Glaetzer.

Semalam, Azizulhasni membuktikan tiada apa yang mampu menghalangnya biarpun dibelenggu masalah kesihatan berkaitan jantungnya apabila berjaya meraih emas acara keirin, mengatasi pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota yang masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.

Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley sebelum ini mendedahkan yang penyertaan Azizulhasni di Adelaide akan dipantau rapi selepas dia perlu mengambil ubat perikarditis - ubatan yang berkaitan dengan jantungnya sejak beberapa minggu lalu.

Pada April 2022, Azizulhasni terpaksa menjalani pembedahan jantung terbuka susulan disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne.

Sementara itu, seorang lagi pelumba lelaki negara, Shah Firdaus Sahrom terkandas di pusingan kelayakan dan gagal mara ke pusingan pertama apabila mencatat masa ke-32 terpantas (10.150s) daripada 37 pelumba.

Dua pelumba wanita negara pula, Anis Amira Rosidi dan Nurul Izzah Izzati Asri sekadar menamatkan saingan keirin di pusingan repechage.

Berita Harian X