Ahad, 4 Februari 2024 | 3:01pm
Azizulhasni (tengah) selepas menang pingat emas acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia. - Foto ihsan John Beasley
Azizulhasni (tengah) selepas menang pingat emas acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia. - Foto ihsan John Beasley

Masalah jantung bukan halangan buat Azizulhasni

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menegaskan tiada apa yang boleh menghalangnya daripada mencipta kejayaan selepas memenangi pingat emas acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia, semalam.

Pelumba berusia 36 tahun itu berkata meskipun mengharungi pelbagai dugaan dalam kerjayanya termasuklah terpaksa menjalani pembedahan jantung pada April 2022 namun ia tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk terus berjuang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

"Ia sesuatu yang menakjubkan. Kali terakhir saya memenangi perlumbaan Piala Negara-Negara adalah lima tahun lalu.

"Saya perlu melawan dengan masalah kesihatan berkaitan jantung dan perlu menjalani pembedahan tetapi tiada apa yang boleh menghalang saya daripada melakukan kebangkitan.

"Ini adalah salah satu perlumbaan keirin yang sukar dan berkelas dunia. Saya diberi tentangan yang sengit daripada dua pelumba Jepun. Jadi, saya sangat gembira dengan kemenangan ini," kata Azizulhasni ketika ditemubual UCI selepas tamat perlumbaan.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengatasi dua pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota yang masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga pada perlumbaan di Adelaide Super-Drome.

Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley sebelum ini mendedahkan yang penyertaan Azizulhasni di Adelaide akan dipantau rapi selepas dia perlu mengambil ubat perikarditis - ubatan yang berkaitan dengan jantungnya sejak beberapa minggu lalu.

Perikarditis adalah keradangan perikardium dan boleh menyebabkan cecair berkumpul di dalam karung perikardium.

Cecair yang berlebihan itu boleh mengakibatkan tamponad kardium dengan menghalang jantung daripada berdegup dengan betul atau menekan pembuluh jantung secara fizikal.

Mengulas mengenai persiapan menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai depan, Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman mengakui dia belum lagi berada pada tahap terbaiknya ketika ini tetapi percaya akan bersedia sepenuhnya sebaik temasya itu bermula.

"Saya tidak katakan yang saya dalam keadaan terbaik, saya bergelut sejak tiga atau empat minggu yang lalu tetapi sudah tentu dalam kehidupan anda perlu melaluinya. Saya cuma perlu kekal fokus dan terus berjuang.

"Saya bertuah dapat berlatih dengan pelumba Australia kerana saya berpangkalan di Melbourne. Penyertaan dalam beberapa kejohanan tempatan di sini juga banyak membantu saya melakukan persiapan.

"Saya belum berada pada tahap terbaik tetapi sudah pasti saya akan meningkatkan prestasi saya secara berperingkat. Ada enam bulan lagi dan saya berharap boleh berada di kemuncak prestasi apabila Olimpik Paris bermula," katanya.

Berita Harian X