Khamis, 1 Februari 2024 | 10:53am
Peruntukan kerajaan bagi pasukan hoki kebangsaan.
Peruntukan kerajaan bagi pasukan hoki kebangsaan.

Skuad hoki 5s bakal terima peruntukan - Hannah

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyalurkan peruntukan kepada skuad hoki lima sebelah (5s) lelaki dan wanita negara bagi program latihan dan kejohanan kedua-dua pasukan berkenaan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kedua-dua pasukan tidak menerima peruntukan sebelum ini disebabkan saingan Piala Dunia Hoki 5s yang disertai di Muscat, Oman adalah kejohanan baharu.

Katanya, kerajaan sudah pun menyalurkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM5.63 juta bagi kegunaan lima pasukan hoki negara bagi tahun 2023.

"Bagi tahun 2023, lima pasukan menerima jumlah besar RM5.63 juta. Piala Dunia Hoki 5s ini acara baharu, kali pertama 2024 untuk pasukan lelaki dan wanita. Kami sedang usahakan bantuan.

"Jumlah besar tujuh pasukan sekarang yang akan dibantu oleh KBS Malaysia dan Majlis Sukan Negara (MSN)," kata Hannah menerusi hantaran di Facebook miliknya, malam tadi.

Menurut Hannah, daripada RM5.63 juta yang diberikan kepada lima pasukan hoki negara, sebanyak RM2,084,618 disalurkan kepada skuad senior lelaki kebangsaan yang terdiri daripada 20 pemain manakala skuad wanita yang juga dibarisi 20 pemain menerima RM1,129,990.

Tambahnya, 20 pemain pelapis kebangsaan menerima RM1,315,783 manakala 36 pemain yang beraksi bagi pasukan hoki dewan pula diberi peruntukan sebanyak RM1,105,749.

BH Sukan semalam melaporkan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mendedahkan jurulatih skuad hoki 5s lelaki negara, Wallace Tan yang membawa pasukan mara ke final Piala Dunia Hoki 5s tidak mengambil gaji kerana memahami kekangan kewangan dialami badan induk itu dan hanya menerima elaun makan.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata pemain juga menerima elaun latihan yang amat sedikit selain tidak mampu untuk memenuhi permintaan mereka yang mahukan kasut baharu.

Justeru, beliau akan berusaha untuk memberikan ganjaran kepada skuad lelaki yang berjaya mara ke final edisi sulung Piala Dunia Hoki 5s selain skuad wanita yang mengakhiri kempen di kedudukan keenam.

Berita Harian X