Rabu, 31 Januari 2024 | 4:16pm
Arul dikehendaki mengemukakan laporan kegagalan skuad kendaliannya ke Sukan Olimpik.
Arul dikehendaki mengemukakan laporan kegagalan skuad kendaliannya ke Sukan Olimpik.

Nasib Arul diketahui sebulan lagi

KUALA LUMPUR: Sama ada khidmat Arul Selvaraj selaku ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan akan dikekalkan atau sebaliknya dijangka diketahui dalam tempoh sebulan lagi.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan pembubaran skuad senior dan remaja lelaki kebangsaan yang dibimbing Muhammad Amin Rahim selaras dengan kontrak kedua-dua jurulatih pasukan itu yang berakhir, hari ini.

Beliau berkata, nasib Arul dan Amin akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kejurulatihan KHM yang dipengerusikan Datuk Majid Manjit Abdullah.

"Saya nak maklumkan selepas berbincang dengan Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan dan Jawatankuasa Kejurulatihan, kita memang sudah bubarkan pasukan senior lelaki dan remaja lelaki.

"Maksudnya semua pemain kembali beraksi dengan kelab mereka dalam saingan liga yang akan bermula tidak lama lagi.

"Jadi, tiada pasukan kebangsaan buat masa sekarang ini. Kita akan bina semula pasukan baharu selepas tamat saingan liga nanti.

"Kontrak jurulatih akan dibincangkan selepas jawatankuasa kejurulatihan bermesyuarat, " kata Subahan ketika sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Beliau berkata, badan induk itu memberikan kuasa penuh kepada Jawatankuasa Kejurulatihan untuk menentukan pemilihan jurulatih baharu kebangsaan.

"Sama ada ia jurulatih tempatan atau asing, saya serah sepenuhnya kepada jawatankuasa.

"Pengumuman jurulatih berkenaan mungkin akan dibuat dalam tempoh sebulan dan sebelum Mac ini kerana persiapan untuk persediaan Piala Sultan Azlan Shah perlu dilakukan," katanya.

Tambah Subahan, KHM ketika ini menunggu laporan penuh susulan kegagalan skuad lelaki negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris dengan Arul perlu menyerahkannya sebelum Ahad ini.

Anak buah Arul sebelum ini gagal dalam misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris selepas terlepas pingat emas di Sukan Asia Hangzhou apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keenam.

Malaysia yang kemudiannya beraksi di pusingan kelayakan di Muscat, Oman turut gagal mengesahkan tiket ke Paris apabila mengakhiri kempen di kedudukan kelima.

Skuad lelaki remaja negara pula menamatkan saingan Piala Dunia di Kuala Lumpur di kedudukan ke-12, bulan lalu.

Berita Harian X