Rabu, 31 Januari 2024 | 12:50pm
Skuad hoki lelaki kebangsaan dibubarkan selepas gagal layak ke Sukan Olimpik.
Skuad hoki lelaki kebangsaan dibubarkan selepas gagal layak ke Sukan Olimpik.

KHM bubar skuad Speedy Tigers

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), hari ini mengumumkan pembubaran skuad senior dan remaja lelaki kebangsaan.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata skuad kebangsaan akan berwajah baharu selepas tamat saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024.

Katanya, selaras dengan keputusan itu, semua kontrak jurulatih juga sudah pun ditamatkan.

"Saya nak maklumkan selepas berbincang dengan Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan dan Jawatankuasa Kejurulatihan, kita memang sudah bubarkan pasukan senior lelaki dan remaja lelaki.

"Maksudnya semua pemain kembali beraksi dengan kelab mereka dalam saingan liga yang akan bermula tidak lama lagi.

"Jadi, tiada pasukan kebangsaan buat masa sekarang ini. Kita akan bina semula pasukan baharu selepas tamat saingan liga nanti," kata Subahan ketika sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Skuad lelaki senior kebangsaan yang lebih dikenali Speedy Tigers sebelum ini gagal dalam misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris selepas terlepas pingat emas di Sukan Asia Hangzhou apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keenam.

Malaysia yang kemudiannya beraksi di pusingan kelayakan di Muscat, Oman turut gagal mengesahkan tiket ke Paris apabila mengakhiri kempen di tempat kelima.

Skuad lelaki remaja negara pula menamatkan saingan Piala Dunia di Kuala Lumpur di kedudukan ke-12, bulan lalu.

Berita Harian X