Selasa, 30 Januari 2024 | 5:51pm
Ervin Chang bersama trofi selepas dinobatkan sebagai pemenang Toyota Tour 2023 Order of Merit di MST Arena Golf, The Gardens Mall, Mid Valley. - NSTP/AMIRUDIN SAHIB.
Ervin Chang bersama trofi selepas dinobatkan sebagai pemenang Toyota Tour 2023 Order of Merit di MST Arena Golf, The Gardens Mall, Mid Valley. - NSTP/AMIRUDIN SAHIB.

Ervin tekad pertahan kejuaraan Jelajah Toyota

KUALA LUMPUR: Pemain golf negara, Ervin Chang mahu meneruskan rentak positif pada musim baharu 2024 selepas merangkul Order of Merit Jelajah Toyota 2023.

Ervin yang kini berstatus profesional berkata, impiannya adalah mempertahankan Order of Merit Jelajah Toyota seperti diraihnya musim lalu selain beraksi dengan baik pada saingan Jelajah Asia yang pertama kali disertainya kali ini.

"Ia mungkin sedikit sukar dengan jadual Jelajah Asia dan Jelajah Pembangunan Asia, tetapi saya akan cuba yang terbaik... beraksi sebanyak mungkin di Jelajah Toyota," kata pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi 2021 itu.

Ervin yang ditemui ketika majlis pengenalan Siri Jelajah Toyota 2024 hari ini berkata, Jelajah Toyota adalah platform terbaik buat pemain tempatan untuk bersaing terutama dengan kehadiran jaguh seperti Danny Chia, Gavin dan Galven Green.

"Kali pertama saya beraksi di Jelajah Asia untuk musim 2024, sudah pasti saya akan banyak beraksi di kejohanan itu dan ia bukan mudah seperti kita lihat sebelum ini memandangkan ia sangat kompetitif," katanya yang meraih RM151,796 yang menobatkannya sebagai Order of Merit Jelajah Toyota 2023.

"Apa pun saya gembira dapat beraksi di Jelajah Asia selepas menjadi pemain profesional. Perjalanan karier saya berjalan lancar sekali sejak memenangi emas pada 2022, selepas itu menjadi pemain profesional. Selepas setahun setengah meraih Order of Merit pula."

Dalam pada itu, Jelajah Toyota 2024 bakal menyaksikan 10 pusingan dengan membabitkan lapangan baharu seperti Penang Golf Resort, Royal Pahang Golf Club, Sibu Golf Club, Tiara Melaka Golf & Country Club dan Kota Permai Golf & Country Club.

Pengurus Besar Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM), Nik Mustapha Nik Mohamed ketika sidang media hari ini berkata, beliau berharap saingan kali ini lebih baik berbanding tahun lalu.

"Kami di PGM melalui perkongsian dengan UMW Toyota Motor dan MST Golf akan berusaha untuk menjadikan 2024 sebagai jelajah yang lebih menarik untuk para pemain," katanya.

Berita Harian X