Isnin, 29 Januari 2024 | 3:16pm
Raffiq (kiri) bersalaman dengan Pengarah Urusan Dunlop Srixon Sports Asia, Takuya Ono dalam satu majlis pengenalan kejohanan, hari ini. Foto: Sukhairi Thani/NSTP
Raffiq (kiri) bersalaman dengan Pengarah Urusan Dunlop Srixon Sports Asia, Takuya Ono dalam satu majlis pengenalan kejohanan, hari ini. Foto: Sukhairi Thani/NSTP

Kejohanan Golf Remaja 100PLUS SRIXON 2024 gamit penyertaan antarabangsa

SHAH ALAM: Kejohanan Golf Remaja 100PLUS SRIXON 2024 yang dijadual berlangsung di Kota Permai Golf & Country Club dari 29 Julai hingga 1 Ogos ini bakal membuka ruang kepada bakat muda menyerlahkan kemampuan mereka.

Lebih menarik, kejohanan bakal menyediakan platform antarabangsa yang kompetitif buat pemain negara untuk menunjukkan prestasi mereka bersaing dengan bakat muda dari rantau Asia Pasifik.

Antara negara yang bakal menyertai kejohanan adalah seperti Brunei, Kemboja, Hong Kong, China, India, Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam dengan jangkaan 90 pemain dijangka menghangatkan saingan akhir.

"Untuk pemain remaja kita berkembang menjadi amatur yang lebih baik dan profesional di masa depan, mereka harus didedahkan kepada pertandingan di peringkat tinggi sejak dari usia muda bagi membina kemahiran mereka.

"Bersaing bersama rakan sebaya dari rantau ini, ia akan membolehkan mereka mengukur tahap permainan mereka dan mengetahui tahap kemampuan diri masing-masing," kata Pengarah Pengurusan Fraser&Neave Holdings Bhd, Datuk Raffiq Md Ariff selepas sidang media pelancaran kejohanan di sini, hari ini.

"Pemain profesional ketika ini seperti Gavin Green dan Kelly Tan juga adalah bekas juara Kejohanan Remaja Malaysia selain beberapa nama pemain Malaysia yang lain sudah meraih manfaat daripada kejohanan ini.

"Kami sangat berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian dalam golf remaja semula dan tidak sabar untuk melihat bakat negara beraksi nanti," kata Raffiq.

Sebagai tambahan kepada kejohanan utama (Divisyen A) untuk remaja lelaki dan perempuan antara 14 hingga 17 tahun, kategori pembangunan (Divisyen B) juga akan dipertandingkan buat lelaki dan perempuan antara umur 11 dan 13 tahun.

Pemain golf remaja domestik boleh melayakkan diri ke Kejohanan Remaja 100PLUS SRIXON menerusi dua siri kelayakan iaitu di Siri Kelayakan Semenanjung Malaysia di Templer Park Country Club di Rawang, Selangor dari 6 hingga 9 Mei dan Siri Kelayakan Sabah dan Sarawak di Miri Golf Club, Sarawak dari 10 hingga 13 Jun ini.

Berita Harian X