Selasa, 23 Januari 2024 | 5:31pm
Skuad hoki lelaki kebangsaan tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini. - BERNAMA
Skuad hoki lelaki kebangsaan tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini. - BERNAMA

Arul sedia terima sebarang keputusan KHM

SEPANG: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara Arul Selvaraj sedia menerima sebarang keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengenai kedudukannya selepas Malaysia gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, Arul berkata beliau akan berjumpa Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal bagi membincangkan sama ada beliau masih diberi mandat untuk mengendali pasukan negara yang diberi julukan Speedy Tigers itu atau tidak.

"Sepatutnya tugas saya hingga 31 Disember lepas, tapi saya sambung hingga kelayakan (Sukan Olimpik Paris 2024) ini, selepas ini saya bincang dengan Subahan itu sahaja.

"Sekiranya kami boleh sambung untuk bekerjasama, saya okey, kalau tiada saya boleh bergerak ke hadapan, Subahan banyak pasukan sokongan, jadi saya serah kepada beliau untuk buat keputusan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Terdahulu, skuad Speedy Tigers yang menamatkan kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di kedudukan kelima di Muscat, Oman selamat tiba di tanah air, pagi tadi.

Pasukan negara sebelum itu gagal layak ke Olimpik Paris 2024, yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini, selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan A di kedudukan tercorot dengan satu mata, di belakang Great Britain yang muncul juara kumpulan (sembilan mata), Pakistan (empat mata) dan China (tiga mata), baru-baru ini.

Dalam pada itu, Arul berkata beliau sudah mempunyai perancangan tersendiri buat pasukan kebangsaan sekiranya badan induk hoki negara itu masih memberi peluang kepadanya untuk terus membimbing Speedy Tigers.

Katanya, beliau bersedia untuk mencurahkan idea dan perancangannya itu kepada presiden ketika sesi pertemuan mereka kelak.

"Kalau tak sambung dengan pasukan kebangsaan saya akan pulang ke Dublin, Ireland, saya ada akademi di sana, balik dengan keluarga, tapi saya tak fikir semua itu, fokus saya, saya nak bincang dengan Subahan bagi tahu perancangan saya. Masih ada tugas belum selesai," katanya.

Arul membimbing skuad hoki lelaki negara sejak Ogos 2020 bagi menggantikan tugas bekas Ketua Jurulatih Roelant Olthmans. - BERNAMA

Berita Harian X