Khamis, 11 Januari 2024 | 6:07pm
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh beramah mesra bersama sebahagian atlet pada Majlis Amanat 2024 Majlis Sukan Negara di Dewan Banquet, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh beramah mesra bersama sebahagian atlet pada Majlis Amanat 2024 Majlis Sukan Negara di Dewan Banquet, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Hannah tunaikan janji

KUALA LUMPUR: Seramai 393 atlet termasuk atlet para berada di bawah Program Podium akan menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula bulan ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata perkara itu akan memberi impak kewangan sebanyak RM16 juta setahun kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya, bayaran elaun bulanan atlet juga yang kini ditukar kepada gaji akan dinaikkan dengan minimum gaji asas sebanyak RM1,500 sebulan.

"Carumannya adalah 11 peratus daripada atlet dan MSN akan menyumbang 13 peratus.

Atlet kita mahukan jaminan untuk mereka, jadi kita telah tunaikan hasrat mereka.

"Namun, saya juga mahukan mereka tunaikan hasrat rakyat Malaysia bagi meraih pingat emas di Sukan Olimpik," kata Hannah ketika ditemui selepas Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan 2024 di MSN, di sini, hari ini.

Jelas Hannah, buat masa ini caruman KWSP hanya dibayar kepada atlet di bawah Program Podium dan tidak membabitkan atlet pelapis.

"Saya tahu ada hasrat untuk golongan pelapis juga terima tetapi buat masa ini yang kita mampu adalah untuk atlet podium dulu," jelasnya.

Dalam pada itu, Hannah, berkata pihaknya juga tidak melupakan sumbangan para jurulatih yang menjadi tulang belakang peningkatan prestasi atlet negara apabila sudah meminta MSN mengadakan kajian semula elaun menerusi Skim Jurulatih Kebangsaan.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal mengadakan temasya sukan yang terbuka kepada atlet veteran dan orang ramai pada tahun ini.

"Kalau kita mahu Malaysia menjadi negara bersukan, kita kena adakan acara seperti ini untuk teruskan minat mereka dalam sukan, kalau tidak hanya golongan muda sahaja," katanya.

Mengulas mengenai isu doping membabitkan seorang atlet olahraga yang digantung dua tahun, kelmarin, Hannah mengingatkan atlet supaya lebih peka dengan diet pemakanan yang diamalkan mereka.

"Mereka membeli secara di atas talian. Jadi kesedaran oleh MSN akan diteruskan tapi tahun ini juga kita pastikan kursus pendidikan juga diberikan kepada atlet kita.

"Bukan sahaja dari segi pemakanan tetapi cara mereka kendalikan media sosial. Cara mereka jawab soalan bersama media," katanya.

Berita Harian X