Ahad, 7 Januari 2024 | 4:40pm
Faizal Saari diketepikan skuad kebangsaan ke Muscat. - Foto fail
Faizal Saari diketepikan skuad kebangsaan ke Muscat. - Foto fail

Faizal diketepi kerana kecederaan, gout

KUALA LUMPUR: Keputusan mengetepikan penyerang, Faizal Saari daripada skuad hoki lelaki kebangsaan bagi mengharungi kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman dibuat disebabkan kecederaan membelenggu pemain itu termasuklah masalah gout.

Ketua jurulatih negara, Arul Selvaraj, berkata dia tidak boleh mengambil risiko dengan menyenaraikan Faizal berdasarkan situasi yang dialami pemain berusia 32 tahun itu.

Katanya, Faizal sudah mengalami kecederaan ketika aksi terakhir Sukan Asia Hangzhou, Oktober tahun lalu menentang Pakistan.

"Balik daripada Sukan Asia, dia jalani proses pemulihan, mental dia juga sedikit terganggu. Dia mahu berehat tetapi saya minta dia kekal dan tenangkan fikiran.

"Namun, selepas itu dia mengalami kecederaan semula yang mana dia juga ada masalah gout. Asid uriknya juga sangat tinggi.

"Semasa kita buat jelajah di Korea Selatan pun dia sudah alami masalah gout dan kena lagi ketika di New Zealand.

"Dia pun baru berlatih semula. Ia sesuatu yang membimbangkan, jadi saya memutuskan untuk menyenaraikan pemain yang benar-benar cergas sepenuhnya dan bersedia untuk beraksi," kata Arul.

Pusingan kelayakan akan bermula dari 15 hingga 21 Januari.

Skuad negara dijangka berlepas ke Muscat pada 11 Januari ini dan akan mengadakan dua perlawanan persabahatan menentang Kanada serta Chile pada 12 dan 13 Januari sebelum memulakan kempen kelayakan.

Malaysia akan membuka tirai saingan menentang China pada 15 Januari diikuti pertemuan dengan Great Britain (17 Januari) sebelum melengkapkan aksi terakhir Kumpulan A menentang Pakistan pada 19 Januari.

Berita Harian X