Sabtu, 6 Januari 2024 | 8:16pm
Pelayar negara, Nur Shazrin Mohamad Latif. - Foto fail NSTP
Pelayar negara, Nur Shazrin Mohamad Latif. - Foto fail NSTP

Nur Shazrin ukur prestasi di Eropah sebelum ke Olimpik Paris

KUALA LUMPUR: Atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif akan menjadikan Kejohanan Senior Eropah ILCA 2024 dan Piala Eropah Terbuka di Athens, Greece sebagai medan mengukur prestasinya sebelum ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Atlet berusia 25 tahun itu berharap kejohanan bermula 16 hingga 27 Februari itu dapat membantunya mengenal pasti kelemahan sebelum beraksi di temasya berprestij dunia yang bermula Julai depan.

"Sebab temasya besar terakhir pada Sukan Asia tahun lepas, selepas itu tiada kejohanan besar, saya tak tahu tahap saya bagaimana sekarang, kalau sudah pergi (Eropah) sekurang-kurangnya saya tahu kelemahan saya dan boleh letakkan sasaran peribadi ke Olimpik.

"Sebelum ke Eropah, saya nak tingkat saya punya pengendalian, pelepasan dan kecergasan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Anak kelahiran Johor itu berkata, buat masa ini beliau giat menjalani latihan di Langkawi sejak melaporkan diri pada 1 Januari lepas sebagai persiapan untuk berlayar di Eropah.

Cuaca sejuk di Eropah, katanya akan menjadi cabaran utama memandangkan beliau sudah lama tidak beraksi dalam keadaan cuaca sedemikian.

Nur Shazrin yang menyumbang pingat emas di Sukan Asia Hangzhou 2022 menerusi acara ILCA6 Wanita mengesahkan tempat secara merit ke Sukan Olimpik 2024.

Dalam pada itu, Nur Shazrin turut menyuarakan kebimbangan apabila tiada perancangan yang jelas untuk program dan persiapan lain ke Paris 2024 oleh Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau berkata masa semakin suntuk buatnya untuk membuat persiapan memandangkan MSA dan MSN masih belum memberi sebarang maklumat jelas mengenai program latihan dan jurulatih yang akan diberikan kepadanya.

"Saya tak tahu bila boleh mula, ikutkan sudah lambat, Olimpik lagi berapa bulan sahaja lagi, atlet lain sudah mula latihan sejak Olimpik lepas," katanya.

Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan. – BERNAMA

Berita Harian X