Sabtu, 6 Januari 2024 | 5:18pm
Pemain Pahang Rangers FC, Muhamad Ridzwan Bakri masih menunggu proses perpindahan. - NSTP/FOTO MOHD RAFI MAMAT
Pemain Pahang Rangers FC, Muhamad Ridzwan Bakri masih menunggu proses perpindahan. - NSTP/FOTO MOHD RAFI MAMAT

Ridzwan tidak pasti kedudukan musim ini

KUANTAN: Pemain Pahang Rangers FC, Muhamad Ridzwan Bakri masih tidak pasti kedudukannya bersama pasukan baharu dalam saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) musim ini.

Menerusi kiriman WhatsApp semalam, dia secara ringkas menegaskan semua urusan masih lagi dalam proses.

Tidak dinyatakan sejauh mana perkembangan proses berkenaan yang akan menjadi penentu masa depannya sebagai pemain profesional musim ini.

"Saya masih tidak pasti kedudukan saya ketika ini...sebab semua urusan masih lagi dalam proses.

"Saya juga tidak pasti apa keputusan terkini yang dibuat oleh pengurusan Pahang Rangers FC dengan pasukan yang berminat memiliki saya," kata pemain kelahiran Tawau, Sabah itu.

Muhamad Ridzwan yang masih mempunyai kontrak setahun dengan Tok Gajah berpengalaman lebih 10 tahun dalam kancah futsal tempatan.

Dia ialah penjaring terbanyak Pahang Rangers FC pada musim 2022 dengan 19 gol, manakala musim lalu mengumpul lapan gol dan beberapa kali menerima Anugerah Kasut Emas Liga Futsal.

Sebelum ini jurulatih Pahang Rangers FC, Gerard Casas meluahkan rasa kecewa apabila dua pemain harapannya itu, Muhamad Ridzwan dan Mahadir Harahap Khairuddin tidak hadir untuk mengikuti sesi latihan skuad Pantai Timur itu bermula bulan lalu.

Sehingga kini kelibat dua pemain berkenaan masih tidak kelihatan dalam kem juara berganda Pahang Rangers FC.

Berita Harian X