Khamis, 4 Januari 2024 | 12:53pm
Timbalan Pengurus Pemasaran Sukan MILO, Sheena Ayesha (kanan) bersama peserta yang menyertai KLAS anjuran bersama KBS dan MILO.
Timbalan Pengurus Pemasaran Sukan MILO, Sheena Ayesha (kanan) bersama peserta yang menyertai KLAS anjuran bersama KBS dan MILO.

Kelas renang percuma untuk anak golongan B40

KUALA LUMPUR: MILO mengambil langkah proaktif apabila tampil bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan air dan kemahiran asas berenang menerusi Program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang dalam golongan keluarga B40.

Dengan matlamatnya adalah untuk mengurangkan kadar kematian akibat lemas dalam kalangan kanak-kanak, KLAS Renang memilih 1,600 kanak-kanak berumur antara 6 hingga 12 tahun dari pelbagai lokasi di seluruh negara untuk mengikuti kelas renang secara percuma.

Inisiatif penting ini memberi tumpuan melengkapkan kanak-kanak dengan kemahiran menyelamatkan nyawa dan ilmu keselamatan air, sekali gus membolehkan mereka kekal selamat di dalam dan di sekitar kawasan air.

Pengurus Pemasaran Sukan MILO, Nestle (Malaysia) Berhad, Kerwin Lim, berkata ilmu keselamatan air dan pencegahan kejadian lemas kini sangat penting di Malaysia, memandangkan anak-anak muda secara khususnya terdedah kepada insiden berkaitan air, termasuk bencana banjir.

"Program ini telah membolehkan MILO menyokong usaha memupuk budaya keselamatan kukuh yang membantu kanak-kanak yang terdedah untuk lebih bersedia menghadapi sebarang situasi di dalam air, di samping membina hubungan yang lebih sihat dengan air.

"Kami berbesar hati kerana berpeluang menyokong Kementerian Belia dan Sukan, dan menerusi Program KLAS Renang, kini terdapat lebih ramai anak muda Malaysia

yang semakin yakin apabila berenang.

"Kami bercadang untuk melaksanakan lebih banyak program seperti ini tahun depan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat bagi semua kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan.

Program dilancarkan dengan kerjasama RNJ Swimming Academy, sebuah kemudahan sukan terkemuka dengan jurulatih berdaftar dan bertauliah daripada Persekutuan Renang Malaysia (MAS).

Pasukan jurulatih berkelayakan memberi bimbingan dan melatih peserta di bawah modul profesional, dengan mengajar teknik berenang asas, langkah-langkah untuk diambil semasa kecemasan dan cara mengenal pasti potensi bahaya.

Berita Harian X