Ahad, 31 Disember 2023 | 12:41pm
Bintang boling negara Rafiq Ismail menimang cahaya mata sulungnya Muhammad Yusuf yang lahir pada 20 Disember lalu hasil perkongsian hidup bersama isterinya Adzlin Ifafudin. – Foto Instagram _rafiqismail
Bintang boling negara Rafiq Ismail menimang cahaya mata sulungnya Muhammad Yusuf yang lahir pada 20 Disember lalu hasil perkongsian hidup bersama isterinya Adzlin Ifafudin. – Foto Instagram _rafiqismail

Cahaya mata sulung cetus inspirasi Rafiq

KUALA LUMPUR: Kelahiran cahaya mata sulung baru-baru ini melonjak motivasi jaguh boling negara Muhammad Rafiq Ismail untuk melakar lebih banyak kejayaan membanggakan pada masa depan.

Bukan sahaja mahu memburu lebih banyak gelaran, juara dunia 2018 itu berkata kehadiran anaknya Muhammad Yusuf membuatkan dia tekad mengekalkan dominasi dalam kalangan pemain boling lelaki peringkat Asia.

"Memang berbeza hidup tanpa anak dan ada anak cuma walau macam mana pun saya akan cuba menyesuaikan dengan situasi sekarang.

"Saya tidak mahu ambil ini (kelahiran anak) sebagai perkara yang membebankan malah ia memotivasikan diri untuk menang dengan lebih banyak lagi kerana saya percaya rezeki anak ada di mana-mana," katanya.

Berdasarkan ranking Persekutuan Boling Asia, Rafiq kini memegang status sebagai pemain nombor satu Asia buat tahun ketiga berturut-turut sejak tahun 2021 dengan mengumpul 442 mata.

Dalam pada itu, pemenang emas Sukan Asia 2018 itu berpuas hati dengan prestasi keseluruhannya pada 2023 termasuk menggondol empat emas pada Kejohanan Asia ke-26 di Hong Kong, awal tahun ini.

Atlet berusia 26 tahun itu membuktikan kehebatannya dalam pertandingan itu dengan mengungguli saingan Masters, All Events, berpasukan (bersama Syafiq Ridhwan, Mohd Syazirol Shamsudin, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Fishol) serta trio bergandingan dengan Timmy dan Muaz.

"Bagaimanapun, saya agak terkilan tidak ada rezeki bawa pulang pingat pada Kejohanan Dunia 2023 di Kuwait, Oktober lalu," katanya.

Rafiq yang sedang bercuti dijangka kembali beraksi pada Mac depan.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Maradona Chok sebelum ini memaklumkan mereka menyenaraikan 12 kejohanan antarabangsa untuk disertai pemain boling negara sepanjang 2024. – BERNAMA

Berita Harian X