Ahad, 31 Disember 2023 | 12:00pm

Johan harap muay thai terus berkembang di Malaysia

KUALA LUMPUR: Selepas membuka mata banyak pihak, sensasi muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar menaruh harapan tinggi supaya sukan itu dapat terus berkembang di Malaysia.

Johan, 17, atau dikenali dengan julukan Jojo, berkata dia sangat berharap Persatuan Muay Thai Malaysia dapat memainkan peranan yang lebih efektif bagi mencungkil bakat-bakat baharu di negara ini.

Katanya, Malaysia sebenarnya mempunyai ramai atlet yang berpotensi untuk melangkah lebih jauh tetapi mungkin tidak mendapat pendedahan yang secukupnya.

"Kita ramai bakat-bakat yang bagus, cuma mereka tidak dapat peluang yang diperlukan untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.

"Usaha juga perlu dibuat untuk mencungkil bakat-bakat baharu di peringkat akar umbi supaya kita tidak ketandusan atlet dalam sukan muay thai.

"Saya percaya kalau kita betul-betul minat untuk memajukan sukan ini, kejayaan akan dicapai.

"Sebab itu, kuasa perlu diberikan kepada orang betul-betul berpengalaman dan berminat untuk melonjakkan lagi sukan ini ke peringkat lebih tinggi," kata Johan ketika ditemui BH Sukan di Kuching, Sarawak, Selasa lalu.

Petarung muay thai, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar ketika menjalani latihan di Rentap Muay Thai Gym. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Petarung muay thai, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar ketika menjalani latihan di Rentap Muay Thai Gym. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI

Menurut Johan, dia turut mengikuti perkembangan terkini rakan-rakan seperjuangannya yang lain termasuklah Mohamad Rifdean Masdor dan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib yang turut meraih pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa.

Katanya, kedua-dua atlet berkenaan sangat berbakat dan berpotensi untuk melangkah ke peringkat tertinggi.

"Macam Rifdean, dia pun orang Sarawak, sangat berbakat. Saya rasa dia pun hanya tunggu masa untuk dapat kontrak ONE Championship," katanya.

Johan mencipta sejarah apabila menjadi atlet tempur termuda memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM463,300) dengan ONE Championship, Oktober lalu.

Dengan rekod kemenangan 5-0 dan empat menerusi kiraan knockout (KO) sepanjang saingan musim ini, Johan turut diangkat sebagai Bintang Muda Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship, kelmarin.

Petarung muay thai, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar ketika menjalani latihan di Rentap Muay Thai Gym. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Petarung muay thai, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar ketika menjalani latihan di Rentap Muay Thai Gym. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Berita Harian X