Sabtu, 30 Disember 2023 | 12:07pm
Keadaan padang sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, awal bulan ini. - NSTP/ASWADI ALIAS
Keadaan padang sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, awal bulan ini. - NSTP/ASWADI ALIAS

Padang SNBJ ibarat 'kuih seri muka' hangatkan sukan 2023

KUALA LUMPUR: Musim 2023 sekali lagi menyajikan 1,001 cerita dalam arena sukan tanah air.

Ia merangkumi detik manis kejayaan barisan atlet negara di pentas antarabangsa, keputusan mengecewakan dan tidak kurang juga kontroversi yang menjadi bualan hangat peminat tempatan.

Dua temasya sukan yang berlangsung tahun ini - Sukan SEA Kemboja dan Sukan Asia Hangzhou antara yang menjadi tumpuan utama.

Isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil pula antara kontroversi yang hangat diperdebatkan khususnya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

BH Sukan menyorot kembali antara peristiwa atau detik penting yang berlaku dalam arena sukan negara sepanjang tahun ini.

1. Skuad Harimau Malaya

Tahun 2023 boleh dianggap sebagai detik kebangkitan skuad bola sepak kebangsaan menerusi keputusan memberangsangkan yang dihasilkan pasukan bimbingan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon.

Anak buah Pan Gon mencatat kemenangan dalam aksi persahabatan menentang Turkmenistan (1-0), Hong Kong (2-0), Kepulauan Solomon (4-1) dan Papua New Guinea (10-0). Skuad Harimau Malaya juga berjaya mengikat dua pasukan 100 terbaik dunia, Syria (2-2) dan China (1-1).

Pasukan Harimau Malaya meraikan kemenangan selepas perlawanan Kumpulan D bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027, Malaysia menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA.
Pasukan Harimau Malaya meraikan kemenangan selepas perlawanan Kumpulan D bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027, Malaysia menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA.

Rekod tanpa kalah Malaysia berpanjangan selepas menundukkan India 4-2 pada aksi pembukaan Pestabola Merdeka 2023 di sini Oktober lepas, namun anak buah Pan Gon gagal menjuarai kejohanan berprestij itu selepas tumpas 0-2 kepada Tajikistan di final.

Skuad negara juga bermula baik pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila mengumpul enam mata maksimum dalam dua perlawanan awal Kumpulan D dengan menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0.

Deretan keputusan positif dicatatkan skuad Harimau Malaya melonjakkan kedudukan Malaysia dalam ranking dunia apabila berjaya mendaki sehingga posisi ke-130 pada November yang juga kedudukan terbaik dalam tempoh 17 tahun sejak menghuni tempat ke-127 pada Mei 2006.

2. JDT 'double quadruple'

Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan pertama meraih 'double quadruple' apabila menyapu bersih keempat-empat trofi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) buat dua musim berturut-turut.

JDT yang dibimbing Esteban Solari memulakan kempen musim ini dengan menjulang Piala Sumbangsih sebelum mempertahankan Piala FA buat kali kedua berturut-turut dengan menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-0, Julai lalu.

Skuad Harimau Selatan kemudian dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut ketika saingan masih berbaki beberapa perlawanan dan turut menambah koleksi kejuaraan apabila menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Harimau Selatan berjaya mengekalkan semua trofi yang dimenangi mereka musim lalu termasuk Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia di bumi Johor.

3. Sukan SEA Kemboja

Kontinjen Malaysia sekali lagi berdepan detik hitam di pentas Sukan SEA apabila gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan.

Pencapaian di pentas Sukan SEA bagi edisi ke-32 itu dianggap sebagai pencapaian terburuk selepas apa yang diraih kontinjen negara ketika temasya sama di Vietnam tahun lalu.

Malaysia mengakhiri cabaran di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan membawa pulang 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa di Kemboja.

Berdasarkan jumlah kutipan pingat dalam tempoh 20 tahun terakhir penganjuran Sukan SEA iaitu sejak 2003 di Hanoi, pencapaian kali ini juga menyaksikan kilauan emas paling sedikit diraih Malaysia.

4. Sukan Asia Hangzhou

Penyertaan kontinjen negara di Sukan Asia Hangzhou dengan pencapaian enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa boleh disifatkan sebagai memuaskan membabitkan penyertaan 289 atlet dalam 22 daripada 40 jenis sukan.

Dengan keseluruhan 32 pingat, pencapaian itu sekali gus melebihi sasaran yang diletakkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk meraih 27 pingat tanpa mengira warna.

Bagaimanapun, ia gagal mengatasi pencapaian pada edisi ke-18 di Jakarta-Palembang apabila kontinjen negara meraih tujuh emas, tiga perak dan 16 gangsa.

Pencapaian terbaik kontinjen negara adalah di Sukan Asia Guangzhou 2010 dengan meraih sembilan emas, 17 perak, 17 gangsa dan menamatkan saingan di kedudukan ke-10 keseluruhan.

5. Aaron-Wooi Yik rangkul gelaran pertama

Selepas enam tahun menanti, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhirnya berjaya merangkul gelaran pertama dalam saingan Jelajah Dunia BWF selepas menjuarai Terbuka Denmark, Oktober lalu.

Kejayaan itu hadir selepas pasangan nombor tiga dunia berkenaan menundukkan wakil Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dengan keputusan straight set 21-13, 21-17 dalam tempoh 33 minit.

Meskipun sudah bergelar juara dunia pada 2022, namun Aaron-Wooi Yik masih kemarau kejuaraan Jelajah Dunia sejak mereka digandingkan pada 2027 sehinggalah kejayaan diraih di Terbuka Denmark.

Pencapaian terbaik mereka sebelum itu adalah tujuh kali muncul naib juara termasuk satu di Kejohanan Asia.

Natasha memperagakan pingat yang dimenanginya pada Kejohanan Dunia sejuru tiba di KLIA. - Foto FB MSN.
Natasha memperagakan pingat yang dimenanginya pada Kejohanan Dunia sejuru tiba di KLIA. - Foto FB MSN.

6. Natasha juara dunia boling

Pemain boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan mencipta sensasi apabila berjaya muncul juara di Kejohanan Boling Dunia yang berlangsung di Salmiya, Kuwait, Oktober lalu.

Natasha menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia selepas memenangi pingat emas acara individu dengan mengetepikan cabaran rakan senegara, Sin Li Jane menerusi keputusan 2-1 dalam format tiga permainan terbaik pada aksi yang berlangsung di Kuwait Bowling Sporting Club.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara itu adalah menerusi Jacqueline Sijore pada tahun 2011 di Hong Kong.

Kejayaan muncul juara dunia disifatkan bagai mimpi menjadi realiti buat Natasha yang sudah memasang impian untuk merangkul gelaran itu sejak usia 14 tahun.

7. Nabilah-Aleena juara dunia

Beregu boling padang negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Nawawi mencipta sensasi apabila menamatkan penantian 15 tahun Malaysia dengan muncul juara di Kejohanan Boling Padang Dunia yang berlangsung di Gold Coast, Australia, September lalu.

Pasangan yang kali pertama beraksi di kejohanan tertinggi itu cemerlang apabila menewaskan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 dari Malta, Rebecca Rixon dan Connie Leigh Rixon 15-11 pada aksi final.

Kali terakhir Malaysia muncul juara dunia adalah menerusi Safuan Said dalam acara perseorangan lelaki pada 2008 di Christchurch, New Zealand.

Bagaimanapun, pencapaian dilakar Nabilah-Aleena di Gold Coast adalah yang pertama diraih pemain boling padang wanita negara sejak kejohanan diperkenalkan pada 1966.

8. Kontinjen para terus cemerlang

Barisan atlet para negara boleh dianggap konsisten menjelmakan kejayaan buat Malaysia di pentas antarabangsa bermula dengan pencapaian meraih 50 pingat emas, 38 perak dan 28 gangsa sekali gus melepasi sasaran 33 emas, 51 perak dan 58 gangsa pada Sukan Para ASEAN 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Barisan atlet 'luar biasa' negara terus tampil menyinar di bumi Hangzhou, apabila 'lulus dengan cemerlang' melepasi sasaran 35 pingat ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) apabila membawa pulang tujuh pingat emas, 15 perak dan 17 gangsa pada Sukan Para Asia 2022.

Dalam saingan individu pula, jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin boleh diangkat sebagai atlet paling berjaya tahun ini.

Ia susulan reputasinya sukar digugat mana-mana pencabarnya, dengan memecah rekod dunia miliknya sendiri bagi menjuarai kategori lelaki atas 72 kilogram (kg) pada Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Dubai menerusi angkatan 231kg, untuk memadam catatan terdahulu, 230kg dilakar semasa Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 pada Jun 2021.

Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menamatkan larian acara 200 meter pada tempat pertama pada Kejohanan Olahraga SAECA-BJSS 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menamatkan larian acara 200 meter pada tempat pertama pada Kejohanan Olahraga SAECA-BJSS 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

9. Azeem, Shereen cetus kebangkitan

Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan pelari 400 meter (m) wanita, Shereen Samson Vallabouy mencetuskan kebangkitan skuad olahraga negara apabila berjaya memenangi pingat di Sukan Asia Hangzhou sejak kali terakhir atlet olahraga melakukannya pada 2006.

Kedua-duanya yang 'berguru' di Amerika Syarikat cemerlang apabila memenangi pingat gangsa dalam acara masing-masing di Hangzhou.

Shereen turut menjadi watak penting membantu kuartet 4x100m wanita merangkul gangsa.

Kali terakhir skuad olahraga memenangi pingat adalah menerusi Roslinda Samsu yang merangkul perak dalam acara lompat bergalah dan gangsa dari Noraseela Khalid dalam acara 400m lari berpagar di Sukan Asia Doha, 2006.

10. Skuad hoki senior/remaja mengecewakan

Musim 2023 jelas bukan tahun yang positif buat skuad hoki lelaki senior dan remaja negara.

Memulakan tahun ini dengan menamatkan kempen Piala Dunia 2023 di tempat ke-13, skuad Speedy Tigers terus menempuh episod suram apabila gagal dalam misi memenangi pingat emas di Sukan Asia Hangzhou.

Ia sekali gus menyaksikan Malaysia gagal mengesahkan tiket automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila sekadar mengakhiri saingan di tempat pasukan keenam terbaik.

Skuad 'Young Tigers' pula gagal memanfaatkan kelebihan sebagai hos Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023, dengan sekadar menamatkan kempen di tangga ke-12.

11. Padang SNBJ ibarat 'kuih seri muka'

Kontroversi paling hangat diperkatakan dalam arena sukan negara tahun ini adalah padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sehingga diibaratkan seperti 'kuih seri muka' ketika final Piala Malaysia 8 Disember lalu.

Isu padang SNBJ mula menjadi perhatian ketika saingan Pestabola Merdeka, Oktober lalu yang menyaksikan rumputnya tercabut selepas dinaik taraf dengan menggunakan rumput Zeon Zoysia yang ditaja Tunku Mahkota Johor yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun, keadaan tampak jauh lebih baik ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Kyrgzstan, bulan lalu.

Namun, permukaan padang kembali rosak selepas konsert Coldplay, bulan lalu dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) gagal menyiapkan kerja-kerja pemulihan sehingga sepak mula final Piala Malaysia antara JDT dengan Terengganu FC pada 8 Disember lalu.

Berita Harian X