Jumaat, 29 Disember 2023 | 9:27pm
ONE Championship berkongsi penghargaan buat Jojo. - Poster dari laman Instagram ONE Championship.
ONE Championship berkongsi penghargaan buat Jojo. - Poster dari laman Instagram ONE Championship.

ONE Championship iktiraf aksi hebat Jojo

KUALA LUMPUR: Bintang muda muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali diangkat sebagai Bintang Baharu Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship, hari ini.

Menerusi catatan di laman sesawang rasmi ONE Championship, Johan, 17, atau dikenali dengan julukan Jojo diangkat dengan gelaran itu selepas mempamerkan aksi luar biasa sepanjang saingan musim ini.

@bharianmy

Bintang muda muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali diangkat sebagai Bintang Baharu Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship.

♬ original sound - Berita Harian

"Dengan rekod kemenangan 5-0 dan empat KO (kiraan knockout) tahun ini di bawah peraturan muay thai, Johan mengatasi pencabar lain bagi bergelar Bintang Baharu Paling Menyerlah 2023," tulis kenyataan itu.

ONE Championship turut berkongsi pencapaian Johan itu menerusi poster yang dimuat naik di laman Instagram mereka.

"Tahun 2023 sangat besar buat Johan Ghazali yang berusia 17 tahun. Masa depan sangat cerah untuk sensasi muay thai ini," kata kenyataan berkenaan.

Johan yang bernaung di bawah Rentap Muay Thai Gym memulakan kempen 2023 dalam pertarungan Road to ONE Championship dengan penuh bergaya apabila menumbangkan bintang muda Thailand, Padetsuk Fairtex secara KO dalam tempoh hanya 16 saat (s) pada pertarungan ONE Friday Fights 6, Februari lalu.

Dia kemudiannya terus unggul apabila merekodkan satu lagi kemenangan dengan kiraan KO ke atas Tai Sor Jor Piek Uthai dari Thailand dalam tempoh 1 minit 37s dalam ONE Friday Fights 18, Mei lalu.

Jojo semakin digeruni apabila menang ke atas lawan dari Thailand, Samurai Seeopal menerusi keputusan sebulat suara dalam tempoh 3 minit dalam pertarungan ONE Friday Fights 25, Julai lalu.

Tiga bulan kemudian, Johan kembali ke gelanggang untuk bertarung dengan lawan dari Russia, Temirlan Bekmurzaev dalam pertarungan ONE Friday Fights 36 dan berjaya menumbangkan lawan itu dengan keputusan KO dalam tempoh 2:43s.

Kemenangan itu turut menyaksikan dia berjaya mencipta sejarah sebagai atlet tempur termuda memperoleh kontrak AS$100,000 (RM463,300) dengan ONE Championship.

Pertarungannya selepas itu berdepan juara MuayThai Antarabangsa WBC dari Mexico, Edgar Tabares menyaksikan dia menang dengan keputusan KO dalam tempoh hanya 36s.

Berita Harian X