Jumaat, 29 Disember 2023 | 3:42pm
Presiden Persatuan Golf Malaysia, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, (tiga kiri) bersama CEO IRS Prima Holding, Datuk Yusuf Abdul Rahman (empat kiri) bergambar dengan Piala untuk IRS Prima Golf Terbuka Malaysia 2024, selepas majlis perasmian pengumuman penaja utama di The Mines Resort and Golf Club. - Foto NSTP/Fathil Asri
Presiden Persatuan Golf Malaysia, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, (tiga kiri) bersama CEO IRS Prima Holding, Datuk Yusuf Abdul Rahman (empat kiri) bergambar dengan Piala untuk IRS Prima Golf Terbuka Malaysia 2024, selepas majlis perasmian pengumuman penaja utama di The Mines Resort and Golf Club. - Foto NSTP/Fathil Asri

Golf Terbuka Malaysia kembali selepas tiga tahun

KUALA LUMPUR: Golf Terbuka Malaysia kembali semula selepas tiga tahun terhenti akibat pandemik COVID-19 dengan edisi 2024 dijadualkan di Mines Resort and Golf Club, di sini dari 15 hingga18 Februari.

Bagi menarik lebih ramai pemain golf terkemuka, penganjur cuba menjadikan acara bernilai AS$1 juta itu (kira-kira RM4.6 juta) sebagai salah satu kejohanan kelayakan untuk kejohanan British Open (The Open) 2024 yang berprestij.

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata pihaknya sudah membuat permohonan kepada penganjur The Open, Royal & Ancient (R&A) Golf Club of St Andrews di United Kingdom bagi mendapatkan status kelayakan itu.

"Kami masih menunggu pengesahan R&A, dan pengumuman akan dibuat oleh Pesuruhjaya Jelajah Asia. Jika R&A mengesahkan dua atau tiga pemain terbaik layak ke The Open, saya pasti ramai pemain golf terbaik akan tampil bermain (di Terbuka Malaysia)," katanya pada sidang media kejohanan di sini.

Kejohanan The Open ke-152 dijadualkan dari 18 hingga 21 Julai di Kelab Golf Royal Troon di Scotland. Dimulakan pada 1860, The Open ialah kejohanan golf tertua di dunia yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai AS$16.5 juta pada edisi 2023.

Sementara itu, Mohd Anwar berkata 25 hingga 28 pemain golf Malaysia termasuk empat pemain amatur, akan berpeluang untuk bertanding dalam Terbuka Malaysia, yang kali terakhir diadakan pada Mac 2020 di Kelab Golf dan Desa Kota Permai, Shah Alam.

Beliau berkata pemain golf popular Gavin Green, Shahriffuddin Ariffin, Ben Leong dan Ervin Chang layak berdasarkan kedudukan mereka, manakala pemain-pemain lain akan disahkan kemudian berdasarkan kepada ranking mereka dalam Jelajah Golf Profesional Malaysia (PGM) 2023 (dikenali sebagai Toyota Tour).

Terdahulu, firma pelaburan IRS Prima Holding diumumkan sebagai penaja kejohanan Terbuka Malaysia selama dari 2024 hingga 2026.

Mohd Anwar berkata IRS Prima Holding akan menampung wang hadiah AS$1 juta setahun di samping menyokong perbelanjaan lain berkaitan penganjuran kejohanan itu, dan menambah jumlah hadiah akan disemak semula untuk edisi 2027.

Trevor Simsby dari Amerika Syarikat merangkul gelaran juara pada tahun 2020 selepas memenangi playoff tiga penjuru menentang pemain Australia, Andrew Dodt dan Jarin Todd dari Amerika.

Pencapaian terbaik oleh pemain golf tempatan sejak penganjurannya pada 1962 ialah kejayaan mendiang P Gunasegaran menduduki tempat kedua pada edisi 1994, selepas tewas kepada pemain Sweden, Joachim Haeggman dalam aksi lapan lubang yang mendebarkan pada playoff.

- BERNAMA

Berita Harian X