Jumaat, 29 Disember 2023 | 11:00am
Jojo membuktikan kerja kerasnya semakin membuahkan hasil. - NSTP/Nadim Bokhari
Jojo membuktikan kerja kerasnya semakin membuahkan hasil. - NSTP/Nadim Bokhari

Jaga solat, kerja keras, tawakal

KUALA LUMPUR: Untuk mencapai kejayaan pada usia muda bukanlah sesuatu yang mudah.

Selain kerja keras, banyak pengorbanan yang perlu dilakukan demi mencapai cita-cita yang diimpikan.

Itu jugalah yang dilalui bintang muda muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar yang namanya kini meniti dibibir peminat sukan tempatan dek deretan kejayaan yang sudah dicapainya.

Johan, 17, atau dikenali dengan julukan Jojo mencipta sejarah apabila menjadi atlet tempur termuda yang memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM463,300) dengan ONE Championship Thailand, Oktober lalu.

Berkongsi resipi kejayaannya ketika ditemui BH Sukan, Selasa lalu, Johan mendedahkan kunci paling utama adalah kerja keras dan jangan cepat berputus asa.

"Dua perkara ini yang sering tersemat dalam diri saya sepanjang saya membabitkan diri dengan sukan muay thai.

"Selain itu, disiplin juga sangat penting, tidak kira dalam apa-apa bidang sekalipun. Jaga solat...selepas sudah bekerja keras dan berusaha, saya tawakal.

"Apabila kita sudah bekerja keras dan bagi 100 peratus tetapi tidak dapat juga keputusan seperti yang kita inginkan, kita perlu reda kerana ia bukan dalam kawalan kita," katanya.

Menurut Johan, dia menghabiskan masa selama lapan jam sehari untuk berlatih sejak enam tahun lalu bagi berada pada tahap seperti hari ini.

"Ia bukan mudah kerana saya juga perlu membahagikan masa dengan pelajaran. Namun, inilah antara pengorbanan yang saya perlu lakukan.

"Fokus saya memang tertumpu kepada muay thai saja. Saya terpaksa mengorbankan zaman kanak-kanak dan remaja saya demi mengejar cita-cita dalam sukan muay thai ini.

"Orang mungkin tidak nampak itu semua, mungkin baru sekarang orang tengok tetapi lima atau enam tahun sebelum ini kerja saya adalah berlatih setiap hari," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas, Kuching, Sarawak itu.

Tambah anak muda berdarah campuran Malaysia-Amerika Syarikat itu, dia gembira kerana segala kerja kerasnya selama ini sudah membuahkan hasilkan yang positif.

"Rasa berbaloi dengan pengorbanan saya selama ini. Itu juga meningkatkan lagi motivasi saya untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan.

"Bagi saya, ini hanyalah permulaan, banyak lagi yang saya nak capai dan saya tidak boleh selesa," tambahnya.

Nama Johan 'meletup' selepas merekodkan empat kemenangan menerusi kiraan 'knockout' (KO) dengan yang terbaharu, menewaskan juara MuayThai Antarabangsa WBC dari Mexico, Edgar Tabares dalam pertarungan ONE Fight Night 17 di Bangkok, Thailand 8 Disember lalu.

Selain Tabares, bekas juara remaja dunia itu juga melakar kemenangan dengan keputusan KO dalam pertarungan Road to One Championship iaitu ke atas lawan dari Thailand, Padetsuk Fairtex di ONE Friday Fights pada 6, Februari lalu, Tai Sor Jor Piek Uthai (Thailand) di ONE Friday Fights 18 (Mei) dan Temirlan Bekmurzaev (Russia) di ONE Friday Fights 36 (Oktober).

Hanya satu kemenangan diraih Jojo menerusi keputusan sebulat suara iaitu ketika menentang Samurai Seeopal dari Thailand dalam ONE Friday Fights 25 pada Julai lalu.

Berita Harian X