Khamis, 28 Disember 2023 | 11:00am

Jojo sasar takluk dunia

KUALA LUMPUR: Selepas menerima kontrak untuk bertarung dalam ONE Championship, Oktober lalu, bintang muda muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar kini mula menyusun langkah bagi bergelar jaguh nombor satu dunia.

Johan, 17, yang dikenali dengan nama julukan Jojo, berkata status itu menjadi buruannya supaya dia dapat meninggalkan legasi yang besar sekali gus melonjakkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Katanya, dia mahu menjadi seperti bintang bola sepak terkemuka dunia, Cristiano Ronaldo yang dilabel sebagai GOAT (Pemain Terhebat Sepanjang Zaman) dalam kerjayanya.

"Sudah tentu saya mahu menjadi nombor satu dunia dalam kategori yang saya sertai (flyweight). Saya mahu menjadi terkenal di seluruh dunia seperti Ronaldo kerana dia adalah GOAT.

"Kalau tidak mahu menetapkan sasaran menjadi nombor satu dunia, lebih baik saya tidak teruskan dalam sukan muay thai ini," kata Johan ketika ditemui BH Sukan di Kuching, Sarawak, kelmarin.

Jojo ketika menjalani latihan di Rentap Muay Thai Gym. - NSTP/Nadim Bokhari
Jojo ketika menjalani latihan di Rentap Muay Thai Gym. - NSTP/Nadim Bokhari

Jelas Johan, dia menyasarkan untuk bertarung dalam empat atau lima perlawanan bagi musim 2024 dalam saingan One Championship dalam usaha melonjakkan lagi namanya di pentas dunia.

Bagaimanapun, katanya, pertarungan hanya akan diatur selepas dia tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Mac depan.

"Sekarang saya fokus untuk menduduki peperiksaan SPM dahulu. Namun, selepas habis nanti, saya sasarkan untuk bertarung sekurang-kurangnya empat atau lima perlawanan pada 2024," jelas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas, Kuching itu.

Johan yang juga bekas juara muay thai remaja dunia, percaya bukan sesuatu yang mustahil untuk dia mencapai impian besarnya itu dengan bimbingan daripada jurulatih berpengalaman dari Thailand, Addy Sipangyak.

Tempat lahir: Putrajaya

Bapa: Zulfikar Ghazali

Ibu: Jennana Johnson

Bilanagn adik beradik: 4 (Johan anak kedua)

Pendidikan: SMK St Thomas, Kuching, Sarawak

Kelab: Rentap Muay Thai Gym

Antara pencapaian:

- Pingat gangsa Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2017

- Pingat gangsa Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2018

- Pingat perak Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2019

- Pingat emas Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2022

- Pingat emas Sukan Malaysia 2022

Rekod kemenangan Road to ONE Championship:

- Padetsuk Fairtex (Thailand) - KO - 16 saat - ONE Friday Fights 6

- Tai Sor Jor Piek Uthai (Thailand) - KO - 1 minit 37 saat - ONE Friday Fights 18

- Samurai Seeopal (Thailand) - keputusan sebulat suara - 3 minit - ONE Friday Fights 25

- Temirlan Bekmurzaev (Russia) - KO - 2 minit 43 saat - ONE Friday Fights 36

Rekod kemenangan ONE Championship

- Edgar Tabares (Mexico) - KO - 36 saat - ONE Fight Night 17

Jojo ketika menjalani latihan di Rentap Muay Thai Gym. - NSTP/Nadim Bokhari
Jojo ketika menjalani latihan di Rentap Muay Thai Gym. - NSTP/Nadim Bokhari
Berita Harian X