Isnin, 25 Disember 2023 | 7:00pm
Pemain Speedy Tigers memiliki peluang kedua di Oman untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik. - Foto HOKITA
Pemain Speedy Tigers memiliki peluang kedua di Oman untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik. - Foto HOKITA

Speedy Tigers mulakan persiapan buru tiket Olimpik di Oman

KUALA LUMPUR: Kesemua pemain skuad hoki lelaki kebangsaan telah memulakan sesi latihan menjelang kelayakan Sukan Olimpik yang berlangsung di Muscat, Oman bermula dari 13 hingga 21 Januari ini bagi memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketua jurulatihnya A Arul Selvaraj berkata ia termasuk tujuh pemain yang mengalami kecederaan sebelum ini telah pulih sepenuhnya dan mengikuti sesi latihan yang bermula pagi tadi.

"Kesemuanya sudah kembali pulih dan mula latihan hari ini. Ada yang baru pulang dari siri jelajah New Zealand dan ada yang baru pulih dari kecederaan. Walaupun mereka cedera sebelum ini mereka tetap melakukan senaman aerobik ketika pemulihan.

"Untuk mereka yang baru pulih dari cedera semestinya mereka perlu ditekan dari segi kecergasan fizikal aerobik, mereka perlu bekerja keras," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, sekurang-kurangnya tujuh pemain Speedy Tigers dilaporkan mengalami kecederaan sekali gus menjejaskan pasukan negara dalam membuat persiapan ke kelayakan Olimpik Muscat, Oman.

Dalam pada itu, Arul berkata beliau akan menumpukan untuk mengurangkan kesalahan taktikal dilakukan anak buahnya selain memastikan pemain bijak membuat keputusan ketika beraksi di atas padang.

"Kalau kita nak layak ke Olimpik di Oman nanti kita tak boleh buat banyak kesalahan jadi kita memang perlu mengurangkan kesilapan. Jadi fasa latihan dilakukan minggu ini adalah untuk kita fokus individu daripada cara pemain buat keputusan tanpa melakukan kesalahan," katanya.

Beliau berkata Speedy Tigers turut akan menerima khidmat profesional daripada Australia, Glenn Turner di Oman kelak sebelum perlawanan kelayakan itu bermula.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan barisan pemain utama, jurulatih kelahiran Johor itu mengakui sukar untuk membuat pilihan bagi menentukan senarai akhir barisan pemain memandangkan kesemua pemain menampilkan disiplin dan prestasi yang memuaskan.

"Apa-apa pun masih terlalu awal untuk saya cakap, kita akan lihat bagaimana sebab ada seminggu lagi latihan ini dan saya akan umum barisan utama pemain pada 1 atau 2 Januari depan," katanya.

Di Oman nanti, skuad negara dijadual berentap dengan Great Britain, Pakistan dan China dalam Kumpulan A, manakala Kumpulan B terdiri daripada Jerman, New Zealand, Kanada serta Chile.

Sebagai rekod, enam tiket ditawarkan ke Paris 2024 pada Kelayakan Olimpik dengan tiga di Oman dan tiga lagi di Valencia, Sepanyol. - BERNAMA

Berita Harian X