Sabtu, 23 Disember 2023 | 3:51pm
Hamidin percaya atlet sudah memahami misi RTG.
Hamidin percaya atlet sudah memahami misi RTG.

Hamidin optimis lebih ramai atlet layak ke Paris

KUALA LUMPUR: Hanya tujuh bulan lagi sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 membuka tirainya dan tempoh berbaki itu akan menjadi 'medan perang' buat atlet negara memburu tempat ke temasya berprestij berkenaan.

Ketika ini empat atlet sudah meraih kelayakan ke Paris iaitu pemanah recurve negara, Ariana Nur Dania Zairi; Bertrand Rhodict Lises (terjun); Nur Shazrin Latif (pelayaran) dan Johnathan Wong (menembak).

Tahun 2024 juga bakal menyaksikan barisan atlet termasuk daripada sukan prospek seperti badminton dan berbasikal memberi sepenuh tumpuan dalam memburu kelayakan ke temasya itu.

Justeru, ketua kontinjen negara ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin menyeru barisan atlet untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan kelayakan yang bakal disertai selain memperbaiki prestasi masing-masing.

"Kelayakan Olimpik masih berjalan ketika ini sehingga Mei tahun depan... saya harap mereka memberi fokus untuk layak di samping memperbaiki prestasi, perbaiki rekod dalam sukan masing-masing.

"Saya rasa akan ada sukan lain yang akan layak kerana kalau dilihat, jenis sukan ini ada yang berperingkat (kejohanan kelayakan) seperti badminton pada April dan itu adalah tarikh akhir mereka (layak). Jadi saya kira, akan ada lagi banyak sukan layak ke Paris," kata Hamidin ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Hamidin berkata, sebahagian besar atlet memahami program Road To Gold (RTG) yang visi utamanya adalah membantu Malaysia mencapai pingat emas pertama diidamkan sejak sekian lama.

"Pada mana-mana sukan yang sudah layak, kita memang ada berjumpa atlet untuk melihat apa kekurangan yang perlu diperbaiki dan nilai tambah buat mereka. Bukan sahaja RTG tetapi atlet lain juga.

"Sebagai ketua kontinjen, saya melihat sebahagian besar atlet memahami misi RTG ini iaitu untuk mencapai impian satu pingat emas sekurang-kurangnya daripada Malaysia kerana Malaysia tidak pernah dapat.

"Ketika ini masih ada sukan yang belum layak, seperti badminton, basikal atau yang lain-lain ini sedang memberi tumpuan untuk layak dahulu dan mereka memahami misi RTG ini untuk meraih emas.

"Biar kita layak dahulu ke Paris dan dalam beberapa bulan lagi, (atlet) akan lebih fokus kepada misi memburu emas," kata Hamidin.

Berita Harian X