Rabu, 20 Disember 2023 | 7:30pm
Presiden Persatuan Boccia Malaysia, Siti Zaharah (kanan) bersama Setiausaha Agung persatuan, Vencent Teri selepas mesyuarat JKK bersama MSN, hari ini.
Presiden Persatuan Boccia Malaysia, Siti Zaharah (kanan) bersama Setiausaha Agung persatuan, Vencent Teri selepas mesyuarat JKK bersama MSN, hari ini.

Peluang terakhir skuad boccia ke Paris

KUALA LUMPUR: Kejohanan kelayakan terakhir ke Sukan Paralimpik Paris 2024 di Coimbra, Portugal pada Mac ini menjadi misi 'wajib emas' buat kem boccia kebangsaan.

Presiden Persatuan Boccia Malaysia, Siti Zaharah Abdul Khalid berkata, seramai lima atlet akan dipilih untuk mewakili negara ke Portugal dalam acara berpasukan campuran untuk memburu slot ke Paris, Ogos tahun depan.

"Untuk Paralimpik Paris, langkah kelayakan itu agak sukar daripada Persatuan Kebangsaan Boccia Antarabangsa. Ada beberapa kesukaran kerana ia memilih mengikut pasukan.

"Selepas (senarai) pasukan dipenuhi, baru mereka memenuhi individu dan kemudian dibuka untuk ranking individu. Jadi untuk kelayakan, ia akan mengikut pasukan.

"Pasukan kita mendapat tempat untuk menyertai kejohanan terakhir di Portugal untuk layak ke Paris. Kalau kita mendapatkan pingat (emas), kita akan layak ke Paris 2024," kata Siti Zaharah kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

"Dari sudut persiapan (ke Portugal), kita teruskan di MSN Kampung Pandan dan kita akan beri tumpuan kepada berpasukan. Buat sebaik mungkin dan memang kita kena menyusun strategi bagi menentukan pemain manakah akan ke Portugal untuk ke Paralimpik nanti."

Untuk rekod, kem boccia kebangsaan membuat penampilan sulung di temasya Paralimpik Tokyo 2020 dengan menyaksikan atletnya, Chew Wei Lun membawa pulang pingat perak.

Wei Lun yang digelar 'Pembunuh Senyap' itu terpaksa berpuashati dengan perak selepas tewas 2-4 di tangan wakil Great Britain, David Smith di final acara individu BC1 di Pusat Gimnastik Ariake, Tokyo.

Berita Harian X