Selasa, 19 Disember 2023 | 5:13pm
Atlet para negara, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi dilihat ada peluang cerah untuk layak ke Paralimpik Paris. - NSTP/OWEE AH CHUN
Atlet para negara, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi dilihat ada peluang cerah untuk layak ke Paralimpik Paris. - NSTP/OWEE AH CHUN

Dekwan, Ammar Aiman akan terus dibantu ke Paralimpik Paris

KUALA LUMPUR: Dua atlet para olahraga negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi akan dibantu sepenuhnya oleh Persatuan Olahraga Para Malaysia (MPAA) untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

Perkara itu dimaklumkan Presidennya, Mohd Zarrawi Abdullah selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini, dengan menyatakan kedua-dua atlet berkenaan akan menyertai dua kejohanan penting pada tahun depan.

Zarrawi berkata, antaranya Kejohanan Grand Prix di Fazza ke-15 Dubai pada 15 Februari depan dalam usaha memburu kelayakan ke Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 yang dijadual berlangsung di Kobe, Jepun tiga bulan kemudian.

"Kita letak harapan tinggi kepada Dekwan (Ridzuan) dan Ammar ke Paris 2024 namun mereka perlu bekerja keras bagi memastikan prestasi sentiasa terbaik," kata Zarrawi kepada media selepas mesyuarat bersama MSN, hari ini.

"Yang pertama sekali, mereka perlu mendapatkan kedudukan 10 terbaik di UAE dan selepas itu perlu meraih pingat emas atau perak di Jepun untuk melayakkan diri secara merit ke Paris 2024. Ini pilihan terakhir buat atlet negara sekiranya ingin melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024."

Untuk rekod, setakat ini hanya dua atlet para olahraga sudah melayakkan diri ke Paris 2024 iaitu Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

Latif menempah slot secara merit ke Paris selepas meraih emas dalam kategori T20 di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris, Julai lalu manakala Ziyad pula membawa pulang perak dalam acara lontar peluru kategori F20 di kejohanan sama.

Berita Harian X