Khamis, 14 Disember 2023 | 12:58pm
Nur Suryani Taibi berpeluang meraih tiket Paris 2024 menerusi Kejohanan Rifle-Pistol Asia di Jakarta dan kejohanan kelayakan di Rio de Janeiro. – Foto arkib NSTP
Nur Suryani Taibi berpeluang meraih tiket Paris 2024 menerusi Kejohanan Rifle-Pistol Asia di Jakarta dan kejohanan kelayakan di Rio de Janeiro. – Foto arkib NSTP

Peluang Suryani buru tiket Paris 2024

KUALA LUMPUR: Penembak veteran negara Nur Suryani Mohamed Taibi mempunyai dua peluang terbaik untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, bermula dengan Kejohanan Rifle-Pistol Asia 2024 di Jakarta, bulan depan.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) Hayati Shamsuri berkata, jika Suryani memenangi kejohanan Asia dari 5 hingga 18 Januari itu, dia akan membuat penampilan ketiganya di pentas Olimpik selepas edisi London 2012 dan Tokyo 2020.

Penembak kebangsaan berusia 41 tahun itu akan menyertai dua acara di Jakarta iaitu 50 meter rifle 3 posisi individu dan 10m air rifle individu wanita.

Sekiranya gagal, Hayati berkata Suryani masih berpeluang menempah tiket ke Paris menerusi kejohanan kelayakan terakhir di Rio de Janeiro, Brazil dari 11 hingga 19 April depan.

"Pertandingan di Rio de Janeiro adalah pusingan kelayakan terakhir buat penembak seluruh dunia untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 namun tugas mencabar menanti Suryani memandangkan dia berdepan penembak handalan dari negara lain di Brazil.

"Disebabkan itu, peluang lebih terbuka baginya untuk ke Paris 2024 pada Kejohanan Rifle-Pistol Asia 2024 kerana saingan diterima hanya dari peringkat serantau sahaja," katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja sukan bersama Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil di sini.

Selain Suryani, Hayati berkata terdapat 15 lagi penembak lain termasuk juara 10m air pistol wanita Sukan SEA 2021 Nurul Syasya Nadiah Mohd Ariffin dijadual menyertai Kejohanan Rifle-Pistol Asia 2024.

Setakat ini, penembak lelaki Johnathan Wong muncul wakil tunggal skuad menembak negara yang mengesahkan slot ke Paris 2024.

Selain Johnathan, tiga lagi atlet dari sukan lain melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu - atlet terjun Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Latif (pelayaran) dan Ariana Nur Dania Zairi (memanah).

Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos. – BERNAMA

Berita Harian X