Ahad, 10 Disember 2023 | 11:17pm

Selepas tumbangkan Tabares, Jojo fokus SPM

KUCHING: Bintang muda muay thai negara, Johan Ghazali yang menewaskan juara MuayThai Antarabangsa WBC dari Mexico, Edgar Tabares dalam pertarungan ONE Fight Night 17 di Bangkok, Thailand kelmarin kembali ke Kuching malam ini.

Johan yang lebih dikenali sebagai Jojo tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) bersama jurulatihnya, Addy Singpayak pada jam 10.40 malam.

Sebilangan kecil penyokong menyambutnya sebaik Jojo keluar dari balai ketibaan dengan beberapa peminat tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengannya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas berusia 17 tahun itu berkata, selepas kejayaan menumpaskan Tabares, beliau akan memberi fokus sepenuhnya kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan didudukinya tidak lama lagi.

"Satu cabaran (menumbangkan Tabares) sudah saya lepasi dan kini saya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada cabaran lebih besar pula iaitu SPM.

"Tetapi latihan akan diteruskan seperti biasa, cuma saya tidak menyertai kejohanan besar buat seketika," kata Jojo.

Jojo kini sudah meraih empat kemenangan menerusi kiraan 'knockout' (KO) selain Tabares.

Sebelum ini anak pegawai kanan polis itu pernah melakar kemenangan dengan keputusan KO ke atas lawan dari Russia, Temirlan Bekmurzaev dalam pertarungan ONE Friday Fights 36 (Oktober).

Terdahulu, beliau menumbangkan Tai Sor Jor Piek Uthai (Thailand) di ONE Friday Fights 18 (Mei) dan Padetsuk Fairtex (Thailand) di ONE Friday Fights 6 (Februari).

Bintang muda muay thai negara, Johan Ghazali tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK). - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Bintang muda muay thai negara, Johan Ghazali tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK). - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Berita Harian X