Ahad, 10 Disember 2023 | 11:14am
Johan Ghazali (kanan) meraikan kemenangan ke atas Edgar Tabares pada aksi kategori catchweight ONE Fight Night 17 di Bangkok semalam. – Foto Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak
Johan Ghazali (kanan) meraikan kemenangan ke atas Edgar Tabares pada aksi kategori catchweight ONE Fight Night 17 di Bangkok semalam. – Foto Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak

Rekod Jojo makin digeruni

KUALA LUMPUR: Jaguh muay thai dalam pembikinan, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar kini mempunyai rekod 'menggerunkan' sejak menyertai ONE Championship pada Februari lalu.

Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo kini sudah meraih empat kemenangan menerusi kiraan 'knockout' (KO) dengan yang terbaharu, menewaskan juara MuayThai Antarabangsa WBC dari Mexico, Edgar Tabares dalam pertarungan ONE Fight Night 17 di Bangkok, Thailand semalam.

Selain Tabares, peninju berusia 17 tahun itu juga pernah melakar kemenangan dengan keputusan KO ke atas lawan dari Russia, Temirlan Bekmurzaev dalam pertarungan ONE Friday Fights 36 (Oktober), Tai Sor Jor Piek Uthai (Thailand) di ONE Friday Fights 18 (Mei) dan Padetsuk Fairtex (Thailand) di ONE Friday Fights 6 (Februari).

Hanya satu kemenangan diraih Jojo menerusi keputusan sebulat suara iaitu ketika menentang Samurai Seeopal dari Thailand dalam ONE Friday Fights 25 pada Julai lalu.

"Alhamdulillah, 5-0 di ONE Championship dengan empat knockout. Terima kasih atas segala sokongan diberikan sehingga kini. Saya akan terus mempamerkan peningkatan.

"Insya-Allah yang terbaik akan muncul nanti. Malaysia Boleh!," kata Jojo dalam satu hantaran di laman Instagram.

Semalam, Jojo hanya memerlukan 36 saat pada pusingan pertama untuk muncul pemenang bagi kategori catchweight MuayThai.

Kemenangan dilakar di bawah tempoh satu minit itu juga menyaksikan Tabares menjadi mangsa kedua Jojo dengan sebelum ini, atlet kelahiran Sarawak itu pernah menewaskan Fairtex dalam tempoh 16 saat.

INFO

Rekod kemenangan Jojo pada ONE Championship:

Edgar Tabares (Mexico) - KO - 36 saat - ONE Fight Night 17

Temirlan Bekmurzaev (Russia) - KO - 2 minit 43 saat - ONE Friday Fights 36

Samurai Seeopal (Thailand) - keputusan sebulat suara - 3 minit - ONE Friday Fights 25

Tai Sor Jor Piek Uthai (Thailand) - KO - 1 minit 37 saat - ONE Friday Fights 18

Padetsuk Fairtex (Thailand) - KO - 16 saat - ONE Friday Fights 6

Berita Harian X