Jumaat, 8 Disember 2023 | 3:42pm
Lee Peng menerima rawatan pemeriksaan di Hospital Thomson.
Lee Peng menerima rawatan pemeriksaan di Hospital Thomson.

Nak viral, virallah...

KUALA LUMPUR: Kisah mengenai Koh Lee Peng kerap ditularkan namun bagi bekas atlet renang para itu yang berniaga barangan cenderamata di kaki lima kawasan Bukit Bintang, tiada apa yang boleh dilakukannya meskipun sudah kerap kali memberikan penjelasan secara terbuka.

Justeru, Lee Peng, 50, sekali lagi mengulangi pendirian yang dirinya buat masa ini belum terbuka untuk menerima sebarang tawaran pekerjaan daripada mana-mana pihak, sebaliknya masih selesa dengan kegiatannya itu.

"Saya tak boleh halang," kata Lee Peng kepada media selepas menerima rawatan pemeriksaan kesihatan di Hospital Thomson, Kota Damansara, hasil kerjasama pihak hospital dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), hari ini.

"Saya sudah cakap yang pandangan mereka lain, saya punya pandangan lain... janji saya tak tipu orang."

Kisah Lee Peng yang pernah meraih tiga pingat emas di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2001 sebelum ini kerap ditularkan netizen yang bersimpati dengannya apabila dilihat memakai jersi kebangsaan selain memperagakan pingat dimenanginya ketika menjalankan aktiviti perniagaannya.

Tindakan sedemikian secara tidak langsung menimbulkan pandangan negatif masyarakat terutama di laman media sosial, seolah-olah perjuangan bekas atlet itu diabaikan oleh pihak berwajib.

"Orang nak tular saya tak kisah. Saya tak malu... itu cerita benar. Saya berniaga pun saya pakai pingat. Nak viral, virallah... saya tak boleh buat apa," katanya yang sebelum ini turut menerima beberapa tawaran termasuk menjadi jurulatih.

"Ada orang tanya saya, kenapa ada tawaran tapi tak nak... saya kata, ada sebabnya. Kalau tiba-tiba budak itu tenggelam macam mana? Tawaran ada, tetapi kalau saya tak minat, dipaksa pun tak guna.

"Saya juga ada menerima tawaran (diberikan) kedai, tapi kalau saya tak ada perniagaan, bagaimana saya nak teruskan hidup? YAKEB biasa membantu saya. Saya tak kata mereka tak baik tetapi kalau orang tulis tak baik, saya tak boleh kawal.

"Saya tak tahu pandangan orang bagaimana, mereka punyai mulut saya tak boleh buat apa. Kadang-kadang saya kecewa, saya menangis... tuhan saja yang tahu. Saya tak boleh kawal orang punya mulut," katanya.

Berita Harian X