Khamis, 7 Disember 2023 | 7:49pm
Adden Idrakie menjadi satu-satunya pemain senior menyertai kejohanan Kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia 2023.
Adden Idrakie menjadi satu-satunya pemain senior menyertai kejohanan Kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia 2023.

SRAM pertaruh pemain muda ke Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia

KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mengambil langkah berani dengan menyenaraikan barisan pemain muda untuk menghadapi Kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia 2023 yang akan berlangsung di Tauranga, New Zealand pada 11 hingga 17 Disember ini.

Pada edisi kali ini, Malaysia mempertaruhkan Adden Idrakie Bakhtiar sebagai pemain senior manakala baki tiga pemain lagi iaitu Ameesharaj Chandaran, Sanjay Jeeva, Muhd Hafiz Zhafri akan tampil buat pertama kali di kejohanan itu.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama juara lima kali, Mesir yang juga pilihan pertama kejohanan serta Ireland.

"Kami tidak menyenaraikan pemain utama seperti Ng Eain Yow kerana dia menghadapi masalah permohonan visa, tambahan kami merasakan dia memerlukan rehat kerana sudah mengharungi jadual yang cukup padat untuk tahun ini.

"Ivan tidak bersama kerana dia memohon untuk keluar dari skuad kebangsaan buat seketika, manakala Syafiq Kamal pula terlibat beberapa kejohanan PSA.

"Semestinya kami mahu ke kejohanan ini dengan barisan yang terbaik, kami sudah pun melakukan persiapan yang terbaik untuk Sukan Asia, dan sejurus selepas itu barisan pemain ini terlibat dengan beberapa kejohanan yang besar, jadi ia sebuah perjalanan yang cukup memenatkan untuk mereka, dan kami membuat keputusan untuk mempertaruhkan barisan kedua di kejohanan ini.

"Jadi kami merasakan ini adalah detik yang sesuai untuk memberi pendedahan kepada para pemain pelapis kami dan melihat kemampuan mereka. Kami akan memastikan mereka memberikan aksi terbaik mereka di kejohanan ini," kata Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam.

Biarpun berdepan tugas sukar dengan barisan pemain muda, SRAM menaruh keyakinan tinggi mereka mampu untuk mencipta kejutan dengan sasaran untuk sekurang-kurangnya menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik daripada 24 buah negara yang bertanding.

Edisi sebelum ini pada 2019 di Washington, Amerika Syarikat menyaksikan skuad negara menamatkan saingan keseluruhan di tempat kesembilan.

Berita Harian X