Khamis, 7 Disember 2023 | 6:32pm
Aniq bersama pingat yang dimenangi di Qatar. - Foto FB Aniq Kasdan
Aniq bersama pingat yang dimenangi di Qatar. - Foto FB Aniq Kasdan

Peluang Aniq ke Paris cerah

KUALA LUMPUR: Jaguh angkat berat negara, Mohd Aniq Kasdan optimis peluangnya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 kini semakin cerah selepas memenangi dua pingat di di Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Qatar, malam tadi.

Atlet berusia 21 tahun itu yang beraksi dalam kategori 61 kilogram (kg) merangkul pingat perak acara 'clean & jerk' serta pingat gangsa bagi keseluruhan.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu melakukan angkatan 170kg bagi clean & jerk dan 126kg dalam snatch sekali gus merekodkan angkatan keseluruhan 296kg.

Lebih manis, catatan keseluruhan yang direkodkan itu menyaksikan dia mengatasi rekod kebangsaan 291kg miliknya sendiri, semasa memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Angkat Berat Dunia 2023 di Riyadh, Arab Saudi pada September lepas.

Menurut Aniq, dia berpuas hati dengan pencapaian yang dilakar itu kerana berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.

Katanya, apa yang paling penting kejayaan itu akan mengukuhkan lagi kedudukannya dalam ranking kelayakan ke Sukan Olimpik.

"Alhamdulillah apa yang saya sasarkan dapat dicapai di kejohanan ini. Saya berazam untuk melakukan angkatan lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Atlet Korea Utara, Pak Myong-jin meraih emas berganda selepas melakukan angkatan keseluruhan 305kg.

Perak bagi keseluruhan diraih John Febuar Ceniza dari Filipina yang melakukan angkat keseluruhan 298kg.

Berita Harian X