Rabu, 6 Disember 2023 | 9:54pm
Pemain Malaysia, Ahmad Suhaimi (kiri) dan Muhammad Addy (kanan) mengejar pemain Argentina, Bonanno Agustin (tengah) pada perlawanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. NSTP/GENES GULITAH

Argentina belasah Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mempunyai pilihan selain menang ke atas Australia pada aksi terakhir Kumpulan A sekiranya mahu menempah tiket ke suku akhir Hoki Piala Dunia Remaja, Jumaat ini.

Skuad Young Tigers memilih jalan sukar selepas tewas 0-4 di tangan juara bertahan, Argentina pada aksi kedua kumpulan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Selepas membelasah Chile 7-1 pada aksi pembukaan semalam, skuad kendalian Muhamad Amin Rahim gagal mengekalkan momentum itu dan terpaksa akur dengan kehebatan lawan yang juga pasukan nombor satu dunia.

Lebih malang, Malaysia mensia-siakan empat pukulan sudut penalti yang diperoleh sepanjang perlawanan itu berbanding Argentina yang hanya mendapat satu pukulan sudut penalti.

Jurulatih Malaysia, Amin Rahim memberi arahan kepada pemainnya pada sesi rehat ketika menentang Argentina sempena Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.- NSTP/GENES GULITAH

Argentina membuka tirai jaringan menerusi gol padang Bautista Capurro pada minit ke-20 sebelum Marco Aguirregomecorta meledak gol kedua lapan minit kemudian.

Pasukan dari Amerika Selatan itu terus mempamerkan dominasi mereka sebaik babak kedua bersambung apabila menambah gol ketiga menerusi jaringan sudut penalti yang disempurnakan Inaki Minadeo pada minit ke-44 sebelum Juan Fernandez meledak gol padang empat kemudian dan keputusan 4-0 kekal sehingga tamat permainan.

Keputusan itu menyaksikan Argentina yang dibimbing Juan Ignacio Gilardi mengesahkan tiket ke suku akhir selepas mencatat dua kemenangan termasuk ketika mengatasi Australia 1-0, semalam.

Malaysia dan Australia yang turut menewaskan Chile 7-1, hari ini berkongsi tiga mata dengan aksi pada Jumaat ini akan menjadi penentu pasukan yang akan mengiringi Argentina ke kelompok lapan terbaik.

Berita Harian X