Khamis, 30 November 2023 | 6:48pm
KHM menarik nafas lega apabila MSN mengekalkan skuad hoki lelaki dalam Program Podium.
KHM menarik nafas lega apabila MSN mengekalkan skuad hoki lelaki dalam Program Podium.

Skuad hoki lelaki, wanita kekal dalam Program Podium

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menarik nafas lega apabila skuad lelaki dan wanita negara masih dikekalkan dalam Program Podium sehingga tamat pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 pada Januari depan.

Perkembangan itu dimaklumkan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub, hari ini.

Menurut Subahan, menerusi mesyuarat itu, MSN bersetuju untuk terus memberi sokongan kepada KHM bagi mempersiapkan pasukan lelaki dan wanita negara menghadapi kejohanan pusingan kelayakan ke Paris.

Skuad lelaki akan beraksi di Muscat, Oman dari 15 hingga 21 Januari depan manakala pasukan wanita akan menyertai saingan di Valencia, Sepanyol dari 14 hingga 24 Januari.

"Kami berterima kasih kepada MSN kerana selepas perbincangan, skuad lelaki masih dikekalkan dalam Program Podium sehinggalah pusingan kelayakan pada Januari.

"Begitu juga dengan skuad wanita yang mana sebelum ini sebenarnya tamat pada Oktober lalu selepas Sukan Asia Hangzhou. Namun, selepas kita merayu dan Alhamdulillah ia dipersetujui untuk diteruskan sehingga pusingan kelayakan," katanya.

Jelas Subahan, sama ada hoki akan terus dikekalkan dalam Program Podium selepas berakhirnya pusingan kelayakan Olimpik, ia bergantung kepada keputusan di kejohanan itu nanti.

Subahan, berkata pihaknya juga memohon kepada MSN agar badan induk itu diberikan peruntukan tambahan bagi mempersiapkan kedua-dua pasukan menghadapi pusingan kelayakan ke Olimpik.

"Alhamdulillah mesyuarat telah menerima dengan hati yang terbuka dan akan mempertimbangkan permintaan kami terutama untuk pasukan wanita," katanya.

Pada kejohanan di Muscat, skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan A bersama Great Britain, Pakistan dan China manakala pasukan wanita akan berentap dengan Great Britain, Sepanyol, Korea Selatan, Ireland, Kanada dan Ukraine di Valencia.

Berita Harian X