Rabu, 29 November 2023 | 4:04pm
Suhardi Alias (kiri) dan Norza Zakaria.
Suhardi Alias (kiri) dan Norza Zakaria.

Hannah anggap kemelut PJS-MOM 'agak aman' minta semua bertenang

SHAH ALAM: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan kemelut antara Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah 'agak aman' dan memohon supaya diberikan ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertenang.

"Saya kira sekarang agak aman dan kita bagi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertenang. Namun untuk saya, yang paling penting adalah memastikan jawatan PJS itu kekal profesional dan tiada berat sebelah dan neutral.

"Itu sangat penting kerana ia jawatan yang cukup penting untuk menguatkuasakan Akta Pembangunan Sukan dan seperti saya nyatakan dalam Parlimen, ekosistem sukan yang harmoni sangat penting bagi kita," kata Hannah kepada media selepas Majlis Menandatangani MoU antara MSN dan UiTM, hari ini.

Sebelum ini, KBS dilaporkan mengatur pertemuan bersama MOM bagi meleraikan isu salah faham antara PJS dan MOM.

"Saya percaya perkara ini, kita boleh selesaikan dengan cukup profesional dan tenang. Tapi saya minta, supaya diberikan masa untuk kita lihat isu-isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua pihak.

"Isu pokoknya adalah mengenai e-sukan. Namun disebabkan (isu) terkeluar dari landasan, jadi isu pokoknya belum diselesaikan. Itu adalah keutamaan saya untuk selesaikan (masalah e-sukan) kerana atlet e-sukan meminta kita untuk selesaikan antara MEGA (Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia) dan MESF (Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia).

"Saya percaya, pertemuan yang diadakan dan juga rasa kesal dikeluarkan PJS sudah cukup buat masa sekarang. Biar kita cari masa untuk selesaikan masalah pokok iaitu e-sukan terlebih dulu," katanya.

Kemelut antara MOM dan PJS bermula apabila tular menerusi aplikasi WhatsApp klip audio berdurasi satu minit 20 saat memetik Suhardi mengugut membatalkan pendaftaran MOM.

Rakaman perbualan itu dipercayai dibuat ketika perjumpaan antara PJS dan dua kumpulan mewakili kelompok pucuk pimpinan e-sukan berhubung pendaftaran dan keahlian antarabangsa sebuah badan induk sukan berkenaan pada 14 November lalu.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kemudian mengeluarkan kenyataan menuntut Suhardi menjelaskan keadaan sebenar memandangkan kenyataan dibuatnya disifatkan melampaui batas.

Berita Harian X