Ahad, 26 November 2023 | 7:43pm
Zaidatul Husniah dan Zaidataul Husna membanggakan kedua-dua ibu bapa mereka selepas menamatkan pengajian. Foto UPM
Zaidatul Husniah dan Zaidataul Husna membanggakan kedua-dua ibu bapa mereka selepas menamatkan pengajian. Foto UPM

Sembilan tahun berjuang, akhirnya atlet kembar negara bergelar graduan

KUALA LUMPUR: Selepas sembilan tahun menanti, pasangan kembar pelari pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Zaidatul Husna Zulkifli akhirnya bergelar graduan pada Majlis Konvokesyen ke-47 Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Zaidatul Husna mengikut pengajian ijazah sarjana muda Sumber Manusia manakala Zaidatul Husniah dalam bidang Pendidikan Jasmani mengakui terpaksa melalui pelbagai cabaran untuk menamatkan pengajian kerana kedua-keduanya adalah atlet negara dalam sukan olahraga.

Menurut Husniah, dirinya perlu bijak mengatur masa agar tidak mengganggu latihan dan dapat memberi tumpuan ke atas akademik.

"Saya pernah menangguhkan pengajian selama tiga tahun kerana perlu menjalani latihan di luar negara pada 2017, 2018 dan 2020. Ini adalah satu cabaran dan pengorbanan yang perlu dilakukan," katanya.

Sementara itu, Zaidaitul Husna pula mengakui sebagai atlet masa adalah cabaran utama yang harus ditempuhi dan cabaran terbesar sebagai atlet apabila bergelar pelajar di universiti.

"Kami memang perlu menyusun masa kerana perlu ke kelas dan latihan di tambah pula kelas yang tidak menentu ada masa pagi, petang dan malam selain perlu menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

"Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya. Inilah hadiah paling bermakna buat kedua ibu bapa kami kerana mereka adalah tulang belakang yang sentiasa memberi sokongan, semangat dan dorongan tanpa jemu agar kami sambung pelajar," katanya.

Berita Harian X