Ahad, 26 November 2023 | 5:58pm
Skuad berbasikal trek negara kini berlatih di Velodrom Nasional di Nilai. - Foto FB Azizulhasni Awang
Skuad berbasikal trek negara kini berlatih di Velodrom Nasional di Nilai. - Foto FB Azizulhasni Awang

Skuad berbasikal kembali 'berkampung' di Australia

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal trek negara akan 'berkampung' di Australia bagi mengharungi baki kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 dan sebagai persiapan menghadapi temasya terbesar dunia itu yang dijadual berlangsung pada Julai tahun depan.

Pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom, berkata ketua jurulatih negara, John Beasley mahukan suasana latihan yang berbeza dan ketika ini sedang mencari tempat latihan yang sesuai.

"Tahun depan adalah sangat penting kerana akan mengharungi kempen kelayakan terakhir Olimpik sebelum beraksi di Olimpik Paris.

"Setakat ini kami masih berlatih di Malaysia dan mungkin tahun depan akan berlatih di sana (Australia).

"Kami masih mencari tempat yang sesuai untuk latihan kerana jurulatih mahukan kelainan di mana dia mahukan suasana berlatih di luar.

"Sekarang ini masih lagi mencari tempat yang sesuai dengan cuaca dan persekitaran. Banyak tempat yang bagus tapi ada macam-macam suasana kalau berlatih di luar, jadi masih buat pemilihan," katanya.

Menurut pemenang dua pingat gangsa dalam acara keirin dan pecut di Sukan Asia Hangzhou, September lalu itu, berdasarkan kedudukan ranking semasa, dia dan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sudah layak beraksi di Paris.

"Cuma apabila kempen kelayakan masih lagi berlangsung, kami tidak boleh sahkan sudah layak (ke Olimpik Paris)," katanya yang baru-baru ini menerima Hadiah Skim Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM40,000 susulan kejayaan membawa pulang dua gangsa dari Hangzhou.

Berita Harian X