Sabtu, 25 November 2023 | 5:13pm
Subahan (lima dari kiri) bersama barisan Exco KHM selepas AGM hari ini. - Foto MHC
Subahan (lima dari kiri) bersama barisan Exco KHM selepas AGM hari ini. - Foto MHC

Subahan terajui KHM empat tahun lagi

PUTRAJAYA: Datuk Seri Subahan Kamal mengekalkan jawatannya selaku Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi penggal 2023/2027 selepas disahkan menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-67 badan induk itu di sini, hari ini.

Menurut Subahan, dengan keputusan itu, beliau mahu memastikan kepimpinan badan induk berkenaan bergerak sebagai satu pasukan dalam usaha memartabatkan sukan hoki tanah air.

Katanya, sepanjang menduduki kerusi nombor satu KHM yang mula disandangnya pada 2015, antara cabaran utama yang dihadapinya adalah untuk memastikan pemain negara mengekalkan prestasi cemerlang dalam kejohanan disertai mereka.

"Pihak pengurusan KHM dan barisan jurulatih telah berikan yang terbaik namun kadang-kala para pemain tidak dapat mengekalkan konsisten dalam kejohanan yang sertai.

"Saya berharap pemain dapat meningkat prestasi serta persembahan mereka sekali gus kekal konsisten dalam pertandingan agar pasukan hoki boleh memberi cabaran kepada pasukan terbaik dunia," katanya ketika sidang media selepas AGM itu.

Bergerak ke hadapan, Subahan menjelaskan masih ada tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakannya dan yang terdekat adalah bagi memastikan pasukan negara layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Kita masih mempunyai tanggungjawab untuk dilakukan dan paling terdekat adalah bagi memastikan pasukan hoki lelaki dan wanita yang akan bertanding di kelayakan Olimpik Paris awal tahun depan dan diharapkan dapat tampilkan aksi terbaik sekali gus melayakkan diri ke temasya itu.

"Kita juga akan cuba mewujudkan lebih banyak pertandingan di Malaysia seperti Kejohanan Hoki Dalam Dewan peringkat Piala Dunia dan kejohanan peringkat antarabangsa kerana ini salah satu cara untuk kita angkat sukan hoki ke tahap lebih tinggi.

"Selain itu juga kita ingin meningkat kesedaran rakyat terhadap sukan hoki di Malaysia," katanya.

Terdahulu, Subahan disahkan menang tanpa bertanding selepas tiada calon lain yang bertanding untuk merebut jawatan presiden selepas tarikh tutup pencalonan, awal bulan ini.

Sementara itu, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak dan Datin Mary Sadiah Zainuddin turut menang tanpa bertanding bagi jawatan timbalan presiden lelaki dan wanita.

Jawatan naib presiden lelaki pula dimenangi oleh Ganesan Shanmugam, Shurizan Mansor, Datuk Mohd Sayuti Abd Samad, Hanizam Hassan, Datuk Seri Anil Jeet Singh dan Gobinathan Murugiah.

Bagi jawatan naib presiden wanita, Rogayah Mohamad dan Zaililah Md Tahir menang tanpa bertanding.

Berita Harian X