Selasa, 21 November 2023 | 2:43pm
Norza anggap isu MOM dengan PJS serius dan mahu Menteri Belia dan Sukan campur tangan. - Bernama
Norza anggap isu MOM dengan PJS serius dan mahu Menteri Belia dan Sukan campur tangan. - Bernama

PJS perlu neutral, jangan ada sikap buruk sangka - Norza

KUALA LUMPUR: "Be a watchdog not a bloodhound (Jadilah pemerhati dan bukannya pencari kesalahan)," kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengharapkan Pesuruhjaya Sukan (PJS) adalah seorang individu yang neutral dan diyakini oleh semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) di negara ini.

Justeru, Norza mengharapkan tindakan dapat diambil bagi memastikan keyakinan NSA terhadap PJS dapat dikembalikan susulan isu yang sedang berlanjutan ketika ini.

"Kita harap PJS adalah individu yang boleh diyakini fraterniti sukan dan jangan ada sikap buruk sangka. Beliau (Suhardi Alias) baru pegang sebulan tetapi sudah membuat kesimpulan,

"Beliau menyuarakan perkara yang tidak sepatutnya disuarakan dalam keadaan menteri (Belia dan Sukan) lahirkan ekosistem yang harmoni. Jadi saya rasa ada kelemahan ketara.

"Saya minta Menteri (Hannah Yeoh) selesaikan keadaan ini kerana seorang yang sepatutnya jadi neutral, hakim dan dilihat putih tetapi punyai sikap sedemikian.

"Bagaimana kami sebagai fraterniti sukan ada keyakinan dalam sistem ini? Adakah kami akan dapat tiga, empat bintang selepas ini? Saya rasa penting untuk tindakan diambil bagi mengembalikan semula keyakinan ini," kata Norza.

Norza berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) antara BAM dan Yayasan ASTRO Kasih di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Mengulas mengenai kekesalan seperti yang dinyatakan Pejabat PJS, Norza menegaskan isu terbabit adalah satu perkara yang besar sekali gus tetap mengharapkan campur tangan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Kekesalan adalah pada kenyataan, tiada kekesalan daripada dia. Bagi saya, saya masih kekal dengan fakta bahawa menteri harus melihat kepada isu ini, ia bukanlah isu yang kecil.

"Isu ini serius dan ketika dia seharusnya menenangkan keadaan tetapi dia melebihi bidang kuasanya dan bercakap perkara yang tidak relevan dengan apa yang diperkatakan ketika ini.

"Kita mahu mendengar penjelasannya jadi kita lihat apa dia cakaplah. Menteri harus lihat perkara ini dengan serius dan kalau kita biarkan PJS sahaja, saya rasa perkara ini tidak selesai," katanya.

Berita Harian X