Selasa, 3 Oktober 2023 | 3:14pm
Penjaga gol hoki negara, Muhammad Hafizuddin Othman gagal menahan pukulan pemain China ketika perlawanan Sukan Asia Hangzhou 2022 di Stadium Gongshu Canal Sports Park. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Penjaga gol hoki negara, Muhammad Hafizuddin Othman gagal menahan pukulan pemain China ketika perlawanan Sukan Asia Hangzhou 2022 di Stadium Gongshu Canal Sports Park. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

'China bantu Malaysia, China juga buat kita menangis'

HANGZHOU: 'China yang membantu Malaysia, China juga membuatkan kita menangis.'

Selepas tiga perlawanan pertama, skuad hoki lelaki negara berada pada landasan yang tepat untuk menjadi juara Kumpulan B selepas tidak berdepan masalah 'membuli' Thailand, Oman dan Indonesia.

Malah, peluang menjuarai Kumpulan B semakin terbuka luas selepas China 'membantu' Malaysia dengan mengejutkan Korea Selatan 3-2 dan laluan itu semakin cerah jika Malaysia berjaya menewaskan Korea Selatan pada aksi keempat.

Perlawanan di Stadium Gongshu Canal Sport Park itu benar-benar 'menguji' jantung penyokong kerana Malaysia mendahului sebanyak tiga kali namun Malaysia terlepas peluang meledak gol keempat menerusi pukulan penalti.

Akibatnya, Korea Selatan menghukum Malaysia apabila mereka menyempurnakan pukulan penalti di hujung suku ketiga untuk meraih kemenangan 4-3; Malaysia dan Korea Selatan berkongsi sembilan mata namun Malaysia berkelebihan jaringan.

Namun sebenarnya memasuki aksi terakhir berdepan China, peluang Malaysia menjuarai kumpulan sekali gus mengelak India agak tipis memandangkan Korea Selatan 'mengumpul' gol dengan membelasah Oman 16-2 pada sebelah pagi.

Ini menyaksikan Malaysia perlu meraih kemenangan sekurang-kurangnya 10-0 ke atas China untuk mengetepikan Korea Selatan dan China menerusi perbezaan gol namun sebaliknya, China menghantar kita pulang dengan keputusan 4-4.

Apa yang memilukan, Malaysia yang menghuni ranking ke-10 dunia dikecewakan China yang berada pada ranking ke-22 ; jika dalam konteks bola sepak, ia ibarat Sepanyol terikat dengan Peru.

Apapun, melihat kepada aksi berdepan Korea Selatan dan China, 'Speedy Tigers' jelas tidak berada pada prestasi terbaik dan timbul kerisauan apa yang bakal terjadi jika Malaysia lolos ke separuh akhir berdepan India.

Malah, pengendali, Arul Selvaraj juga mengakui ini bukanlah prestasi terbaik mereka berbanding ketika mereka muncul naib juara Trofi Juara-Juara Asia (ACT), Ogos lalu.

Kekurangan paling ketara dalam dua aksi 'sebenar' adalah mereka gagal mempertahankan kelebihan gol apabila membenarkan lawan mengejar mereka dan natijahnya, mereka tewas 3-4 dan seri 4-4.

Jika mereka berjaya mempertahankan kelebihan gol dalam dua perlawanan ini, mungkin Malaysia sudah lolos ke separuh akhir dan jika gagal ke final sekalipun, setidak-tidaknya boleh berebut untuk pingat gangsa.

Kalau mereka pun menyempurnakan pukulan sudut penalti yang diterima khususnya dalam tiga aksi pertama, mungkin lebih banyak gol dapat dihasilkan dan mungkin dapat memberi kelebihan bagi menyaingi Korea Selatan dari aspek perbezaan jaringan.

Peluang pingat sudah 'lebur' tetapi masih ada aksi penentuan kelima dan keenam, justeru skuad hoki lelaki jangan 'koyak' dan berjuanglah demi maruah negara berdepan Pakistan nanti.

Berita Harian X