ROME: Tommy Fleetwood menikmati detik kemenangan ketika Eropah merampas semula Piala Ryder daripada Amerika Syarikat (AS) lewat malam tadi, melengkapkan kemenangan 16.5-11.5 di sebalik cabaran lewat pemain perseorangan AS.
AS tidak menang di bumi Eropah sejak tahun 1993 manakala tiada pasukan mampu menjulang trofi di gelanggang lawan dalam tempoh 11 tahun.
Ketika Eropah memerlukan setengah mata untuk memastikan kemenangan, Fleetwood mendahului 2-up menentang Rickie Fowler dengan berbaki dua lubang selepas pemain AS itu membenam pukulan tee di lubang ke-16 par-empat ke dalam air.
Pukulan drive Fleetwood singgah di tengah green dan dia tenang menolak masuk eagle bagi memastikan kemenangan ketujuh berturut-turut Eropah di laman sendiri, sebelum menang 3 dan 1.
"Saya fikir lega, bangga, gembira," kata pemain dari England itu. "Bangga dengan setiap orang yang terbabit minggu ini dan bangga kerana saya menjadi orang yang memainkan peranan melunaskan tujuan kami hadir ke sini."
Kapten AS, Zach Johnson mengambil tanggungjawab susulan kekalahan itu.
"Kekalahan ini tanggungjawab saya, saya melakukan beberapa kesilapan. Semua 12 pemain beraksi dengan gigih dan berjuang untuk negara kami," katanya.
Rory McIlroy dan Viktor Hovland mengetuai dengan kemenangan awal di bawah cuaca panas Rome dan Jon Rahm turut meraih setengah mata daripada Scottie Scheffler di lubang ke-18.
Eropah diketuai Luke Donald memulakan saingan hari terakhir hanya memerlukan empat mata untuk menjulang trofi yang mereka kalah teruk dengan catatan rekod apabila dibelasah 19-9 di Whistling Straits dua tahun lalu.
"Kami agak tertekan kerana AS bangkit memberikan saingan hari ini jadi pujian buat mereka. Tetapi saya bangga dengan semua 12 pemain saya. Kami membentuk satu keserasian sejak hari pertama dan mereka memberikan segala-galanya," kata Donald. – AFP