Ahad, 1 Oktober 2023 | 8:08pm
Emir ada perancangan untuk menjadikan perlumbaan LTdL berstatus World Tour. Foto NSTP/HAFIZ SOHAIMI
Emir ada perancangan untuk menjadikan perlumbaan LTdL berstatus World Tour. Foto NSTP/HAFIZ SOHAIMI

LTdL diharap jadi perlumbaan World Tour

KUALA LUMPUR: Lengkap sudah kayuhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 sejauh 1,278.1 kilometer (km) yang menyaksikan pelumba pasukan EF Education-Easypost, Simon Carr menjadi pelumba Great Britain pertama muncul juara keseluruhan sekali gus menyarung Jersi Hijau.

Dengan berakhirnya Peringkat 8 dari Setia Alam ke Kuala Lumpur semalam, tentunya perancangan penganjur kini terarah kepada edisi seterusnya sekali gus menjadikan perlumbaan termasyhur ini berada dalam status lebih tinggi, World Tour di masa akan datang.

Pada masa ini, LTdL berada dalam status ProSeries dan bagi Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2023, Emir Abdul Jalal, pihaknya mempunyai perancangan besar ke arah itu.

"Saya belum pasti lagi (meneruskan tugas sebagai COO) tetapi saya berharap dengannya kerana kita mempunyai impian sangat tinggi untuk menaikkan status LTdL kepada World Tour.

"Sudah pasti impian itu masih ada dan ia akan menjadi realistik," kata Emir yang turut memberi bayangan awal untuk memasukkan Sabah dan Sarawak dalam kalendar akan datang.

Untuk rekod, kali terakhir LTdL memasuki Sabah dan Sarawak adalah pada 2020 yang pada ketika itu juara keseluruhan dimenangi pelumba Team Sapura Cycling dari Itali, Danilo Celano.

Emir dalam pada itu berkata, secara keseluruhan perlumbaan kali ini berlangsung dengan purata kelajuan yang sangat tinggi berbanding sebelum ini termasuk ketika Peringkat 5 yang membabitkan pendakian ke Genting Highlands.

"Kelajuan sangat jauh lebih tinggi daripada biasa, malah di pendakian Genting Highlands ia lebih daripada 33 kilometer per jam (km/j). Saya rasa pelumba yang datang ke sini mempunyai semangat tinggi.

"Kumpulan terakhir yang tiba di garisan penamat Genting Highlands juga catatan masa mereka tidak jauh, sehingga kita boleh melangsungkan majlis penyampaian hadiah dengan sangat cepat.

"Jadi kelajuan keseluruhan perlumbaan dengan laluan sama seperti tahun-tahun sebelum ini meningkat, malah semalam (kelmarin) dari Muar ke Seremban 2 (peringkat ketujuh), saya lihat ia cecah 50km/j," katanya.

LTdL 2023 membabitkan 132 pelumba mewakili dua pasukan WorldTeam, lapan pasukan ProTeam, 11 pasukan benua dan satu pasukan kebangsaan.

Berita Harian X