HANGZHOU: Atlet tinju negara, Mohd Aswan Che Azmi akur dengan pengalaman yang dimiliki pencabarnya, Kan Chia Wei yang berjaya menyekatnya daripada menempah slot ke separuh akhir kategori 71 kilogram (kg).
Selepas beraksi cemerlang pada pusingan awal dengan menewaskan atlet dari Kuwait, Thaher Ali secara RSC (Referee Stop Contest), atlet berusia 25 tahun itu tumbang 5-0 di tangan Chia Wei pada aksi suku akhir, semalam.
"Saya sudah buat yang terbaik tetapi saya kalah dengan pengalaman yang membuatkan lawan lebih baik daripada saya. Keputusan tidak memihak kepada saya tetapi saya bersyukur kerana berjaya mara sehingga ke suku akhir.
"Selain pengalaman, lawan juga ada kelebihan daripada segi kelincahan," katanya.
Dalam masa sama, Mohd Aswan juga melihat percaturan lawan yang mengubah permainan selepas memasuki pusingan kedua membuatkan dia hilang punca selepas berjaya memberi saingan kepada Chia Wei pada pusingan pertama.
"Saya rasa pusingan pertama adalah 50/50 tetapi selepas masuk pusingan kedua, automatik lawan mengubah taktikal yang secara tidak langsung menunjukkan dia lebih berpengalaman daripada saya.
"Dia mengubah permainannya dan saya jadi buntu (untuk mengatasinya)," katanya.
Tamatnya perjuangan Mohd Aswan menyaksikan kem tinju negara menutup kempen di Sukan Asia 2022 tanpa sebarang kilauan pingat selepas seorang lagi wakil negara kategori bawah 51kg, Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin tewas 5-0 di tangan atlet India, Deepak pada pusingan awal.
Pada edisi 2018, wakil negara dalam kategori bawah 49kg, Muhammad Fuad Mohd Redzuan tersingkir di pusingan 32 apabila tewas 5-0 di tangan atlet Thailand, Wuttichai Yurachai.