Rabu, 27 September 2023 | 10:01pm
Dharma Raj akui skuad hoki Indonesia bukan tandingan Malaysia.
Dharma Raj akui skuad hoki Indonesia bukan tandingan Malaysia.

Dharma menyerah awal, anggap Indonesia bukan tandingan Malaysia

HANGZHOU: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki Indonesia warga Malaysia Muhammad Dharma Raj Abdullah menyedari republik itu bukan tandingan pasukan negara apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi kedua Kumpulan B, temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di sini, esok.

Bekas pengendali skuad hoki wanita kebangsaan itu berkata jurang perbezaan yang besar antara kedua-dua pasukan menyaksikan Malaysia yang diberi julukan "Malaysian Tigers" tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan selepas terdahulu membelasah Thailand 9-0 dan Oman 11-1.

"Ini bukan Malaysia lawan Indonesia dalam acara hoki dalam dewan, ini kita bercakap tentang skuad hoki padang utama Malaysia. Ini soal berapa banyak gol yang mereka boleh jaringkan.

"Mereka (Malaysia) akan cuba jaringkan seberapa banyak gol yang boleh kerana mahu mengatasi Korea Selatan dari segi perbezaan jaringan. Kedua-dua pasukan cuba elak jumpa India di separuh akhir," katanya hari ini.

Pertembungan Malaysia dan Indonesia akan berlangsung di Stadium Gongshu Canal Sports Park.

Mengulas lanjut, Muhammad Dharma yang lebih dikenali sebagai Dharma Raj berkata penyertaan Indonesia dalam edisi temasya kali ini adalah sebagai usaha membentuk pasukan yang berdaya saing menjelang 2025.

Katanya barisan kejurulatihan juga berusaha keras untuk meningkatkan prestasi pasukan dan individu ke tahap lebih baik dengan peluang bermain bersama antara pasukan terbaik Asia.

Beliau turut membawa lima pemain hoki dalam dewan menyertai skuad ke Hangzhou sebagai pendedahan.

"Untuk perlawanan esok, kami akan belajar supaya tidak lepaskan banyak gol dan ini peluang mereka (para pemain) belajar sesuatu apabila menentang pasukan yang berada pada satu tahap berbeza.

"Kami cuba untuk menamatkan kempen kali ini di atas Singapura dan Thailand," kata jurulatih berusia 53 tahun itu.

Sebelum ini, Indonesia tewas 0-10 di tangan Korea Selatan dan kecundang 1-5 di tangan China dalam dua aksi pertama kumpulan.

Sebagai rekod, Dharma Raj membimbing skuad hoki lelaki dalam dewan Indonesia mencipta sejarah merangkul pingat emas pada Sukan SEA Kemboja 2023, Mei lepas dengan menewaskan Malaysia di final. - BERNAMA

Berita Harian X