Sabtu, 23 September 2023 | 9:01pm
Hannah ketika sidang media selepas melancarkan Inisiatif 1 Sukan 1 Fasiliti.
Hannah ketika sidang media selepas melancarkan Inisiatif 1 Sukan 1 Fasiliti.

KBS laksana 22 pembaharuan pacu sukan, belia

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diterajui Hannah Yeoh melakukan 22 pembaharuan dalam usaha memacu pembangunan arena sukan dan belia negara sejak sembilan bulan lalu.

Pembaharuan itu merangkumi empat aspek utama termasuk memperkukuhkan ekosistem sukan, merakyatkan sukan, memperkasakan belia dan merakyatkan fasiliti KBS.

Memperkukuhkan ekosistem sukan membabitkan 12 usaha yang dilakukan KBS antaranya menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Pembangunan Sukan (HLC), membentuk Jawatankuasa Pertikaian Sukan dan Jawatankuasa Road to Gold.

HLC dibentuk pada Jun 2023 dengan mesyuarat julung kali dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membincangkan isu berkaitan sukan tempur, renang dan olahraga serta keperluan untuk mengamalkan pendekatan menyeluruh pembangunan sukan membabitkan kerjasama antara KBS, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pengajian Tinggi.

KBS turut membantu konservasi Harimau Malaya menerusi kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha untuk memulihara Harimau Malaya.

Bagi setiap tiket yang dijual untuk perlawanan membabitkan skuad kebangsaan Harimau Malaya, RM1 akan disumbangkan sebagai usaha pemuliharaan Harimau Malaya.

Aspek merakyatkan sukan pula merangkumi empat perkara termasuk mewujudkan direktori fasiliti sukan, menjalankan kemahiran latihan asas sukan (KLAS) renang, menyediakan program skrin besar dan memperluaskan jualan sukan rahmah.

KBS memperkasakan belia menerusi dua usaha yang dilakukan dengan memberi nafas baharu Rakan Muda dan melancarkan Sekolah Rukun Negara.

Menerusi usaha ini KBS pada Jun lalu melancarkan fasa baharu Rakan Muda yang menampilkan 10 gaya hidup yang direka untuk menarik minat belia masa kini manakala program Sekolah Rukun Negara bertujuan meningkatkan literasi politik dalam kalangan belia.

Sementara itu, proses merakyatkan fasiliti KBS dilakukan dengan membuka fasiliti Perbadanan Stadium Malaysia, melancarkan Inisiatif 1 Sukan 1 Fasiliti, menyediakan penginapan 'youth capsule' dan menawarkan perkhemahan keluarga.

Berita Harian X