Ahad, 6 Ogos 2023 | 7:00pm
Cassandra (dua dari kiri) akan menjalani latihan di Brazil bagi persiapan hadapi Sukan Asia. FOTO Bernama
Cassandra (dua dari kiri) akan menjalani latihan di Brazil bagi persiapan hadapi Sukan Asia. FOTO Bernama

Cassandra 'berkampung' di Brazil

KUALA LUMPUR: Atlet jujitsu wanita kebangsaan Cassandra J Poyong akan menjalani latihan intensif selama lima minggu di Brazil untuk menimba seberapa banyak pengalaman yang boleh dalam misinya mencipta kejayaan di Sukan Asia Hangzhou 2022, pada 12 September hingga 8 Oktober ini.

Atlet berusia 34 tahun dari Sabah itu dijangka berangkat ke Rio de Janeiro pertengahan bulan ini untuk berlatih dengan seorang atlet jujitsu negara tersebut, bagi memperkukuh teknik dan taktik berlawan serta meningkatkan tahap kecergasannya.

"Beliau telah memenangi banyak pertandingan di sana dan baru-baru ini beliau memenangi tempat kedua dalam satu kejohanan berprofil tinggi, jadi saya teruja untuk berlatih bersamanya.

"Saya tidak sabar hendak melihat cara atlet Brazil berlatih dan memahami mengapa mereka sangat bersemangat mengenai jujitsu dan harapnya (ilmu) itu dapat dipraktikkan dalam pertandingan serta dikongsi dengan rakan atlet Malaysia," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad jujitsu negara di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Asia Hangzhou 2022 Datuk Chong Kim Fatt melawat sesi latihan itu bagi meninjau persiapan atlet.

Cassandra pernah mencuri tumpuan apabila memenangi pingat emas dalam kategori bawah (-) 55 kilogram (kg) pada Kejohanan Jujitsu Masters Dunia 2019 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum membawa pulang perak menerusi kategori sama pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Januari lepas, beliau meraih perak bagi kategori -59kg di Kejohanan Jiu-Jitsu IBJJF Eropah di Paris dan membawa pulang gangsa dalam kategori -57kg pada Kejohanan Asia di Bangkok, sebulan selepas itu.

Temasya di Hangzhou merupakan penampilan sulungnya dalam Sukan Asia dan beliau yang akan bertanding dalam kategori -57kg, enggan meletakkan tekanan pada dirinya untuk membawa pulang pingat namun optismis mampu menampilkan persembahan yang baik.

"Saya telah melalui banyak pertandingan, kalau terlalu banyak berfikir dan terlalu serius, saya tak rasa anda dapat lakukannya dengan baik. Jadi saya hanya mahu tenang dan lakukan saja apa yang saya lakukan sekarang dan melangkah masuk sebagai atlet, hanya saya dan gelanggang dan cuba yang terbaik," katanya.

Cassandra berkata atlet daripada Filipina, Kazakhstan dan Kyrgyzstan adalah lawan yang hebat dalam kategori tersebut dan beliau menjangkakan saingan sengit daripada mereka.

Sementara itu, jurulatih jujitsu kebangsaan Bruno Barbosa berkata Cassandra, yang telah berada di bawah bimbingannya selama lapan tahun, mampu mencipta kejutan di Hangzhou seperti yang dilakukannya di Sukan SEA 2019.

"Tiada siapa tahu Malaysia ada sukan jujitsu di Sukan SEA pada masa itu apabila beliau mendapat tempat kedua.. dan Cassandra terus cemerlang dalam setiap acara yang disertainya, beliau sering membawa pulang pingat, jadi kami pastinya bersiap-sedia sebaik mungkin untuk membawa kejutan buat Malaysia kali ini," kata jurulatih berusia 39 tahun dari Brazil itu. - BERNAMA

Berita Harian X