Ahad, 23 Julai 2023 | 5:40pm
Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff (tengah) diapit Muhammad Nur Aiman Rosli dan Irwandie Lakasek. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar
Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff (tengah) diapit Muhammad Nur Aiman Rosli dan Irwandie Lakasek. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar

Nur Aiman Zariff capai sasaran di Melaka

MELAKA: Sasaran pelumba kebangsaan, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff meraih podium akhirnya menjadi kenyataan selepas muncul juara lepas beramai-ramai kategori lelaki elit Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan anjuran Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di Melaka hari ini.

Atlet Terengganu Polygon Cycling (TSG) itu unggul dengan catatan 4 jam 27 minit 49 saat dalam perlumbaan sejauh 182 kilometer (km) yang disertai 100 pelumba.

Tempat kedua milik bekas pelumba Team Sapura Cycling (TSC) yang mewakili Johor, Muhammad Nur Aiman Rosli dengan catatan 4:27.49 dan Irwandie Lakasek, juga dari TSG, ketiga dengan catatan 4:29.51.

Muhammad Nur Aiman berkata, saingan diakui sengit namun dia berjaya memfokuskan kayuhan dan mengumpul tenaga untuk mengharungi saingan hampir lima jam berkenaan.

Katanya, prestasinya diakui lebih baik berbanding pertandingan lepas dan mengharapkan momentum berkenaan mampu dikekalkan dalam saingan akan datang termasuk di Le Tour de Langkawi (LTdL) kelak.

"Kemenangan ini amat mengembirakan kerana saya tidak bersaing dalam kategori ini pada tahun lalu di Manong namun berjaya menaiki podium di Melaka. Apa yang pasti kemenangan menduduki tangga ketiga ujian masa individu tahun lalu di Manong turut mendorong tekad saya untuk berjaya kali ini.

"Syukur Alhamdulillah atas kejayaan ini. Terima kasih kepada semua terutama pengurusan dan rakan pasukan yang membolehkan strategi dapat dilakukan dengan baik sepanjang saingan,"katanya selepas perlumbaan.

Menurutnya, aksi 100 meter terakhir ke garisan penamat diakui amat getir kerana dicabar pelumba tempat kedua namun dia berjaya memecut sehabis mungkin untuk memisahkan kedudukan sengit terbabit.

Aiman berkata, selepas ini dia memfokuskan kejohanan di Iran sebagai persiapan ke LTdL untuk meningkatkan prestasi yang lebih baik.

Jelasnya, sasarannya untuk mengekalkan gelaran Raja Bukit secara hatrik walaupun mengakui ia bukan mudah untuk dilakukan kali ini.

Dalam masa sama dia berusaha untuk meraih gelaran lain dalam misinya untuk menceriakan peminat sukan berbasikal di negara ini.

Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff (tengah) diapit Muhammad Nur Aiman Rosli dan Irwandie Lakasek. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar

Berita Harian X