MELAKA: Pelumba Terengganu, Muhamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi muncul juara dalam saingan lepas beramai-ramai bawah 23 tahun Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan di Bandaraya Melaka hari ini.
Bekas pelajar sekolah Sukan Terengganu itu unggul selepas mencatat masa 3 jam 59 minit 23 saat (s) dalam perlumbaan sejauh 154 kilometer (KM) bermula dan berakhir di Bukit Katil di sini.
Tempat kedua menjadi milik Muhammad Iskandariah Medina Mohd Hisham dari Team Aquatwo Cyclomotion (3'59:27s) dan ketiga milik pelumba Perak Mohammad Faiz Fakhri Omar (3'59:32s).
Muhamad Iqbal berkata, selepas terjatuh pada penyertaannya dalam kategori remaja di Perak tahun lalu yang menyebabkan rim basikalnya patah mendorong dia bertekad untuk mencipta kejayaan kali ini.
"Sepanjang perlumbaan saingan sengit, namun kira-kira empat kilometer terakhir terdapat tiga pelumba bersama saya.
"Bagaimanapun saya melihat mereka agak keletihan sekali gus mendorong saya menyimpan tenaga kerana menyedari saya mampu melakukan pecutan pada 300 meter terakhir," katanya.
Juara lepas beramai-ramai wanita remaja pula menyaksikan Intan Suraya Tokiman, 18, dari Johor muncul juara dengan catatan masa 2'34:44s.
Menurutnya, dia sememangnya menyasarkan untuk muncul juara di Melaka selepas tahun lalu sekadar menduduki tangga ketiga.
Dalam saingan berkenaan, tempat kedua dan ketiga menjadi milik Dahlia Hazwani Hasyim dari Terengganu (2'34:44s ) dan Dania Avriel Alviera (2'34:53).
Dalam acara lepas beramai-ramai lelaki remaja pula dimenangi New Joe Lau dari Kuala Lumpur Cycling Team (2'35:36s) diikuti dua pelumba Terengganu, Tengku Muhammad Najib Tengku Norizan (2'35:52s) dan Muhammad Adam Ramdzan Razali (2'35:52s).