KUALA LUMPUR: Gimnas negara, Muhammad Sharul Aimy berpotensi untuk memenangi pingat dalam di Sukan Asia Hangzhou di China, September depan.
Jurulatih gimnastik artistik lelaki negara, Ng Shu Wai, berkata Sharul mempunyai peluang tinggi untuk membawa pulang pingat di temasya berkenaan selepas kebanyakan negara dijangka memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia yang berlangsung serentak.
"Bagi saya, Sharul ada peluang baik memenangi pingat di Sukan Asia nanti kerana kebanyakan gimnas terbaik akan beraksi di Kejohanan Dunia kerana tarikh penganjuran Sukan Asia dan Kejohanan Dunia, bertembung.
"Saya yakin, negara kuasa besar akan menghantar barisan kedua gimnas masing-masing ke Sukan Asia, kerana Kejohanan Dunia menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris," katanya.
Sharul layak beraksi di Hangzhou selepas berjaya menamatkan saingan Kejohanan Gimnastik (Artistik) Asia di Singapura minggu lalu, di kedudukan keenam acara melombol.
Shu Wai, berkata ketika ini Sharul menjadi satu-satunya gimnas negara layak beraksi di Sukan Asia.
"MOM (Majlis Olimpik Malaysia) sudah menetapkan syarat, jadi kita ikut kerana kami di persatuan, paling penting ada wakil beraksi dan kita akan usahakan untuk menyumbang pingat kepada negara.
"Di kejohanan Asia di Singapura, Sharul menamatkan acara final melombol di kedudukan keenam dan meraih mata yang agak hampir dengan gimnas di tangga kelima, empat dan pemenang pingat gangsa.
"Jadi, dia layak ke Sukan Asia dalam kategori B1 yang hanya diberi kepada atlet atau pasukan yang menamatkan saingan di peringkat Asia di kedudukan enam terbaik," katanya.