KUALA LUMPUR: Sukan Olimpik Paris 2024 hanya berbaki setahun saja lagi dan isu didedahkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang seharusnya tidak berlaku terutama dalam misi memburu kilauan pingat emas pertama negara di temasya berkenaan.
Bagi legenda berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan, beliau enggan memihak kepada mana-mana pihak baik Azizulhasni ataupun Majlis Sukan Negara (MSN) namun baginya, sebarang isu yang berlaku dalam tempoh genting menjelang Paris 2024 ini hanya akan mengganggu persiapan.
Justeru, Joo Ngan akan mengadakan pertemuan dengan Azizulhasni dalam tempoh terdekat ini bagi mengetahui perkara sebenar yang berlaku selain percaya kemelut ini akan dapat diselesaikan dengan baik antara pemenang perak dan gangsa di Sukan Olimpik itu dan MSN.
"Saya memang terkejut kerana Azizulhasni tak banyak cakap (sebelum ini). Dia ada cakap mengenai elaun dan semuanya, jadi saya pun terkejut termasuk semua orang lain. Saya harap MSN dan Azizulhasni boleh selesaikan perkara yang kecil ini.
"Saya tak mahu masuk campur, saya tak mahu kata siapa betul siapa salah kerana saya kena adil bagi kedua-dua pihak. Dengan Olimpik Paris semakin hampir, kita tak seharusnya ganggu latihan dia (Azizulhasni).
"Saya yakin dia boleh menang emas kerana dia pernah raih gangsa (Rio 2016) dan perak (Tokyo 2020). Ini (Paris 2024) kali ketiga, jadi dia harus berusaha dan berlatih dengan gigih. Kalau ada gangguan, sukarlah.
"Bukan mudah untuk nak dapatkan emas di Olimpik, jadi saya harap tak berlaku perkara sebegini. Saya akan berjumpa dengan dia (Azizulhasni) dan tanya apa yang berlaku kerana saya tak mahu dia terganggu dengan perkara-perkara sebegini," kata Joo Ngan.
Minggu ini, Azizulhasni menerusi laman media sosialnya meluahkan kekecewaan terhadap sistem sistem sokongan sukan di Malaysia yang dilihat belum setara dengan pangkalan latihan sebelum ini di Melbourne, Australia.
Malah, beliau menyifatkan sesetengah pegawai MSN tidak profesional dalam memenuhi janji bagi menyediakan bantuan yang diperlukan selepas pangkalan latihannya berpindah dari Melbourne ke Nilai.