Rabu, 7 Jun 2023 | 12:24pm
Ahli HLC Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan, Hannah Yeoh. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Ahli HLC Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan, Hannah Yeoh. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

Sukan tempur diklasifikasi sebagai aktiviti sukan

KUALA LUMPUR: Langkah mengklasifikasi semula sukan tempur adalah antara tujuh ketetapan dipersetujui Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pembangunan Sukan bagi menyelesaikan isu berkaitan pembangunan sukan di negara ini.

Ahli HLC Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan, Hannah Yeoh, berkata ketetapan dipersetujui itu adalah langkah pertama diambil semua ahli jawatankuasa bagi memastikan kerajaan dapat mencungkil bakat baharu dalam kalangan golongan muda, terutama sukan tempur, olahraga dan renang.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, pengklasifikasian semula itu meletakkan sukan tempur sebagai aktiviti sukan, berbanding aktiviti badan beruniform seperti termaktub dalam Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997.

Pendekatan itu, katanya, bertujuan memastikan atlet di sekolah menerima pengiktirafan setara dengan sukan lain.

Selain itu, katanya, HLC Pembangunan Sukan turut menetapkan usaha menggalakkan lebih banyak kelab renang dan olahraga di sekolah berpotensi bagi menarik minat pelajar menceburinya, sekali gus mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi.

"Ketetapan lain ialah mewujud dan mempergiat pertandingan kompetitif tahunan peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), merentasi pelbagai sektor pendidikan termasuk sekolah swasta, tahfiz dan lain-lain melalui Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) juga akan mengaktifkan semula pelaksanaan program promosi serta aktiviti Rakan Aktif sebagai antara teras Rakan Muda di sekolah.

"Pelaksanaannya akan membantu memperkenal nafas baharu Rakan Muda bagi memberi penekanan kepada elemen pembangunan diri seperti patriotisme, kemahiran, berbudaya, kesukarelaan, pendidikan moral, pembangunan kepimpinan dan keusahawanan, selaras pembentukan modal insan," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat HLC Pembangunan Sukan 1/2023 bagi membincangkan isu berkaitan sukan, terutama sukan tempur, renang dan olahraga, selari ketetapan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS), pada 30 Mei lalu.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dan Ketua Setiausaha KBS, Dr K Nagulendran.

Hannah berkata, HLC Pembangunan Sukan turut bersetuju supaya Biasiswa Sukan Persekutuan KBS diserah dan diselaraskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), merangkumi skop, terma dan peruntukan.

"Selain itu, peranan Institut Sukan Negara dalam memperluas, menyelaras dan menganjurkan program pendidikan serta pelesenan kejurulatihan kepada guru dan jurulatih di bawah Kementerian Pendidikan dan KPT.

"Permohonan Dana Sukan Komuniti RM20 juta diperluas kepada kelab dan persatuan di bawah KPM dan KPT untuk melaksanakan agenda nasional sihat di peringkat komuniti," katanya.

Berita Harian X